November 16, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 9 Ogos – Tiada guna hebat di medan akademia, namun adab dan akhlaknya tidak dijaga. Malah, adab dan ilmu berpisah tiada. Hilang salah satu, tidak lengkaplah peribadinya sebagai ilmuan atau cendekiawan. Kegemilangan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah SAW, merentasi zaman Khulafa’ Ar-rasyidin, diikuti zaman Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah dipacu oleh ilmuan yang bukan sahaja hebat dalam disiplin ilmunya, malah terpuji pula akhlaknya. Oleh yang demikian, peranan universiti perlu dilihat bukan hanya sekadar sebagai institusi penerokaan ilmu, malah ia sewajarnya menjadi sebuah institusi yang membudayakan adab, akhirnya melahirkan generasi yang seimbang, hebat ilmunnya dan baik pula adabnya.

Keberangkatan tiba DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor yang juga Canselor UTM diiringi Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, Naib Canselor UTM.

Menyedari hakikat tersebut, DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor yang juga merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencetuskan ilham bagi penganjuran satu program wacana ilmu yang julung kali diadakan iaitu Forum Intelektual Diraja UTM, bertempat di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) dengan tajuknya “Membudayakan Ketinggian Adab Dalam Melestarikan Ketamadunan Ilmu”. Turut hadir dalam forum tersebut adalah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, barisan Timbalan Naib Canselor UTM, Dekan-Dekan Fakulti, dan pegawai-pegawai kanan UTM yang lain. Forum yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Jimaain Bin Safar selaku moderator, dibarisi oleh ahli panel yang tidak asing lagi, iaitu Prof. Dr. Arieff Salleh Bin Rosman dan Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Bin Shaikh Mohd Salleh. Forum ini turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 150 orang, rata-rata terdiri daripada staf akademik, staf profesional, staf sokongan UTM dan wakil Komuniti Bangsa Johor Bahagia, Kangkar Pulai.

Sembah ucapan alu-aluan daripada Datuk Naib Canselor UTM.

Menurut Prof. Dr. Arieff Salleh, model pembudayaan dan penghayatan ilmu yang sepatutnya menjadi contoh ikutan kita ada pada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sudah tercatat dalam Al-Quran, bahawa baginda diutus kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak. Oleh yang demikian, akhlak baginda Rasulullah SAW itulah yang sepatutnya menjadi model adab untuk diikuti dan dicontohi para ilmuan dan cendekiawan. Prof. Dr. Arieff Salleh turut menyentuh bahawa pembudayaan ketinggian adab seharusnya selari dengan dasar dan falsafah universiti. Tambah beliau, UTM sebenarnya sudah berada di landasan yang tepat dalam aspek pembudayaan ketinggian adab dengan meletakkan falsafahnya berteraskan Sunnatullah, iaitu “Hukum Allah adalah dasar kepada ilmu”. Manakala, moto UTM itu sendiri iaitu “Kerana Tuhan untuk Manusia” menjadi satu pernyataan ikhlas dalam mensejahterakan dan berkhidmat kepada manusia, di mana perkara tersebut hanya boleh dicapai menerusi adab yang terpuji dan ilmu yang dimiliki.

Sesi forum sedang berlangsung.

Sementara itu, Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen turut mengulas bahawa kedatangan Rasulullah SAW dan penyebaran Islam di seluruh muka bumi membawa kepada lahirnya satu tamadun ilmu berteraskan tauhid dan aqidah. Beliau juga turut melahirkan kebimbangan akan kurangnya adab generasi kini terutama ketika berkomunikasi dan menulis di platform media sosial. Tidak beradab dalam berkomunikasi dan menulis membawa kepada tercetusnya konflik dan pertelingkahan. Tambah beliau, ilmuan dan cendekiawan yang beradab pasti sedar bahawa ilmu yang dimiliki semuanya datang dan anugerah daripada Allah SWT. Sementara itu, beliau turut menyarankan bahawa perlunya kolaborasi antara ilmuan merentas disiplin, tidak kira dalam disiplin agama, kemanusiaan, sains, teknologi dan kejuruteraan dalam merangka etika perkembangan ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan yang amat pantas berlaku dari hari ke hari, demi maslahat umat sejagat.

Sesi bergambar DYMM Tuanku Canselor bersama moderator dan ahli panel forum.
Persembahan cenderahati kepada DYMM Tuanku Canselor.

Di akhir forum, ahli panel membuat penggulungan bahawa dalam proses menuntut ilmu, seorang murid perlu diajarkan adab, manakala guru pula beradab dengan murid. Barulah ia menepati teras pendidikan yang merangkumi guru mursyid, ilmu, adab dan amalan. Keseimbangan adab dan ilmu inilah yang akhirnya akan membawa kepada kelestarian ketamadunan ilmu.

Apabila pelita tidak bersumbu,
Tidakkan dapat dibuat suluh;
Apabila dada tidak berilmu,
Banyaklah sifat tidak senonoh.

Bila berburu tidak beranjing,
Tentulah sulit mendapat rusa;
Bila berguru tidak berbimbing,
Ilmu sedikit manfaat tak ada.

Explore More