April 28, 2024

Search
Close this search box.

Kota Tinggi, 28 Jul. – Delegasi pensyarah dan pelajar Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (SKM UTM) mengambil kesempatan melaksanakan program STEM School Attack, yang juga merupakan sebahagian daripada aktiviti “Dari Siswa Untuk Masyarakat”. Program ini mendapat kerjasama jitu daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi (PPD Kota Tinggi), pengurusan dan warga SK Felda Air Tawar 1.

Program dimulakan dengan pertukaran memorandum persefahaman pintar inovasi sosial antara SKM UTM dan PPD Kota Tinggi. Ketua delegasi STEM SKM UTM, Prof. Madya Dr. Norizah Hj. Redzuan turut diberi kesempatan untuk menyampaikan perkongsian motivasi dan jati diri kepada 50 orang murid, yang mana kesemua mereka memegang jawatan kepimpinan di sekolah seperti pengawas, pengawas perpustakaan dan pembimbing rakan sebaya (PRS). Dalam perkongsiannya, Dr. Norizah mengingatkan murid-murid untuk menghormati guru-guru di samping mencari keseronokan belajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) terutama bagi mata pelajaran STEM.

Kemuncak program adalah aktiviti STEM Explorace dan Bengkel Arduino yang dikendalikan oleh mahasiswa dan mahasiswi SKM UTM. Antara permainan dan ujikaji interaktif yang terdapat di setiap checkpoint adalah seperti dodgeball, self-stand bridge, mini rocket launcher, catapult challenge, & sharing is caring. Murid-murid yang menyertai STEM Explorace dan Bengkel Arduino ini dilihat amat teruja dan seronok mengikuti setiap aktiviti yang telah dirancang dengan rapi oleh pensyarah dan pelajar SKM UTM. Mereka juga dilihat seronok berinteraksi dan bertanyakan soalan kepada mahasiswa dan mahasiswi SKM UTM yang dianggap sebagai ikon dan suri teladan untuk diikuti dan dicontohi.

Pengurusan dan warga SK Felda Air Tawar 1 sememangnya amat berharap program seperti ini akan dijalankan lagi pada masa hadapan. Kehadiran delegasi STEM SKM UTM ke SK Felda Air Tawar 1 dilihat kembali menyuntik minat murid-murid dalam mata pelajaran STEM, terutama yang datang dari latar belakang keluarga peneroka Felda. Semoga program ini menjadi pencetus kepada lahirnya generasi teknokrat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik untuk berkhidmat dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

“Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi”

“Kelestarian Ilmu Ke Arah Masyarakat Berinovasi”

Penyelidik UTM Terlibat: Prof. Madya Dr. Norizah Hj. Redzuan, Prof. Madya Dr. Aini Zuhra Abdul Kadir, En. Khidzir Zakaria, Ts. Dr. Mohd Azlan Suhaimi, Dr. Rozlina Md Sirat, Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, En. Roslin Yasak, Pn. Kasmawati Gumanti, En. Muhamad Nor Firdaus Zainal & En. Mohd Fadthul Ikmal Misnal.

Explore More