April 28, 2024

Search
Close this search box.

Ulasan Karya Sarjana: Rahsia Berjaya dan Bahagia

Kepimpinan diri yang efektif  adalah satu proses mempengaruhi diri sendiri dalam mengamalkan sesuatu amalan yang efektif dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sejak akhir-akhir ini , rakyat Malaysia dikejutkan dengan pelbagai berita yang menyedihkan dan menyayat hati, antaranya berita seorang suami yang membunuh isteri yang  masih dalam tempoh berpantang, seorang isteri yang memukul suami sehingga menemui ajal dan bermacam berita lain. Kita juga tersentap dengan perlakuan sesetengah insan yang mengambil jalan yang tidak bijak untuk meraih populariti, dengan mengaibkan diri sendiri, keluarga, bangsa dan agama.

Mengapakah mereka sanggup melakukan perkara-perkara sedemikian rupa? Segelintir masyarakat merasakan perlakuan mereka adalah kesan daripada tekanan hidup akibat pandemik yang menjadikan mereka mengalami kesihatan mental yang tidak stabil. Bak pepatah “Tepuk dada, tanya selera” dan begitu juga menurut Nelson Mandela “We are the captain of our heart and soul”.

Kita mestilah bijak untuk memimpin diri sendiri untuk terus hidup berjaya dan bahagia, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Amalan tertentu perlu dipelajari dan diimplimentasikan dalam kehidupan kita. Di dalam buku yang bertajuk Rahsia Berjaya dan Bahagia hasil nukilan Jamilah Ahmad dan Adid Rashed menyenaraikan beberapa amalan yang boleh diamalkan untuk menjadi insan yang kekal seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual, sekali gus memberi manfaat kepada orang lain, berjaya dan bahagia di dunia dan akhirat. 

Buku tersebut ditulis daripada hasil dapatan kajian yang dibuat ke atas beberapa orang jutawan muslim yang berjaya di Malaysia. Antara amalan memimpin diri untuk berjaya dan bahagia adalah seperti berikut:-

1. Jaga Hubungan dengan Allah

Mengenal diri sendiri sebenarnya bukan hanya memikirkan secara zahiriah, tetapi lebih kepada lahiriah. Sejauh mana kita tahu apa tujuan hidup dan bagaimana ia berakhir nanti. Mengenal diri adalah langkah pertama mengenal pencipta sekalian makhluk dan alam.  Manusia diciptakan dengan hakikat untuk beribadah dan mengabdi diri kepada Allah SWT. Setiap manusia adalah khalifah di muka bumi. Maka setiap daripada kita adalah pemimpin sekurang-kurangnya pada diri sendiri. Manusia yang baik berusaha untuk mengenal dirinya sendiri dan mengenal Tuhannya.

Apabila kita tidak mengenal diri sendiri dan mengenal pencipta, maka konflik dalam diri akan berlaku. Ia menjadi punca kepada pelbagai bentuk kegelisahan, bimbang, resah, kecewa, bingung dan sebagainya. Kita mesti sentiasa menjaga hubungan dengan Allah dengan menunaikan solat yang sempurna, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah dan mengamalkan kebaikan tanpa mengharapkan balasan. 

2. Sentiasa Bersyukur

Kita selalu berfikir bahawa syukur hanya untuk segala nikmat tuhan yang besar-besar. Bila mana setiap keinginan dan hasrat kita dimakbulkan tuhan, ketika itulah kita bersyukur. Malah ketika kegembiraan datang dengan tidak disangka-sangka, ketika itu kita sujud syukur. Pendek kata untuk segala kegembiraan, kita akan bersyukur. Namun, kita sering terlupa sekecil-kecil nikmat tuhan juga perlu kita syukuri. Didik diri untuk sentiasa bersyukur walau sebesar mana pun nikmat yang diterima untuk menarik kebahagiaan dan ketenangan. Jangan berkeluh kesah dan menyalahkan takdir kerana ia akan mencipta kekecewaan demi kekecewaan. 

3. Hukum Memohon Maaf dan Memaafkan

Kita tidak perlu merasa hina untuk memohon maaf dan memberi maaf kerana beberapa sebab, antaranya. pertama, memaafkan adalah perintah Allah, kedua, memaafkan adalah sunnah Rasullullah dan ketiga, memaafkan itu dapat menghilangkan beban. Beban dan gelora perasaan yang berat apabila kita tidak memaafkan. Dengan memaafkan ketenangan akan hadir dalam diri kita. Berdamailah dengan diri sendiri. Maafkan diri sendiri untuk mendapatkan ketenangan jiwa. Berhenti bertindak zalim ke atas diri sendiri.

Belajar memaafkan orang lain juga. Kesalahan orang lain sama ada sengaja ataupun tidak, kita tidak berhak menghukum mereka sehingga begitu berat dan erat memegang tali kebencian tanpa kemaafan. Sedarlah, kita adalah hamba, mereka adalah ujian yang Allah hadirkan untuk kita.

4. Cintai Diri Sendiri

Mencintai diri berbeza dengan mementingkan diri sendiri. Orang yang mencintai diri sendiri bermakna mereka bersyukur dengan nikmat Allah dan seorang yang menjaga amanah yang Allah berikan kepadanya. Pastinya orang yang mencintai diri tidak akan dengan sengaja merosakkan diri dan menjebakkan diri dengan kebinasaan. Kita perlu melihat dari semua sudut untuk menjadi individu yang holistik.

Dengan cabaran dunia sekarang, kita berhadapan dengan pelbagai isu dan permasalahan yang mengganggu ketenteraman kehidupan seharian. Individu yang mempunyai daya ketahanan diri yang kuat adalah mereka yang berupaya mengimbangi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelektual (JERI) dan mampu mengatasi segala cabaran ini. 

5. Jaga Hubungan Baik Dengan Manusia

Kebahagiaan datang kepada kita dengan pelbagai bentuk dan cara. Antara cara untuk mendapatkan kebahagiaan dan ketenangan adalah dengan berbuat baik sesama makhluk ciptaanNya. Orang yang berbuat baik di atas muka bumi ini dikasihi Allah. Berbuat baik juga disebut sebagai ihsan, pastinya memberi manfaat daripada pelbagai aspek bukan sahaja sesama manusia tetapi semua makhluk. Dan antara kebaikan paling besar adalah tetap berbuat baik kepada orang yang telah menyakiti dan berbuat buruk kepada kita, sama ada dari segi perbuatan mahupun ucapan

Berbuat baik tanpa mengharapkan balasan. Apabila kita membuat sesuatu perkara dengan mengharapkan balasan tertentu, sekiranya hasrat kita tidak tercapai pasti kita akan berasa kecewa. Apabila kita berbuat baik dan memudahkan urusan orang lain. Allah akan membuka jalan dan memudahkan urusan kita juga.

6. Amalan Hukum Tarikan

Diri dan pemikiran kita adalah umpama magnet yang menarik segala yang ada disekeliling kita, terutama apa yang kita fikirkan. Anda tidak perlu melakukan sebarang pembedahan mahupun install apa-apa aplikasi dalam minda untuk menjadikan minda ada sentiasa positif. Hanya latih diri untuk melihat perkara dari sudut yang positif. Ubah perbuatan, pemikiran dan percakapan kepada perkara yang positif, maka perkara yang positif juga akan datang kepada kita.  Ingatlah bahawa minda kita tidak pernah tidur. Ia sentiasa bekerja dan berfungsi.

Kerana itu jugalah selain daripada waktu kita berjaga, kita perlu memastikan minda kita sentiasa bersih dari anasir negatif. Minda kita akan sentiasa menerima sesuatu maklumat untuk disimpan. Tidak kira sama ada ia positif mahupun sebaliknya. Maka kita perlu tapis apa yang akan dimasukkan ke dalam memori kita. Ini kerana apabila sesuatu telah menjadi lekatan dalam minda, ia akan berada di minda separa sedar. Minda separa sedar bekerja 70 peratus lebih dari minda sedar.

Explore More