April 26, 2024

Search
Close this search box.

Penulis: PM Dr. Mohd Bakri Bakar (Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia)

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ditubuhkan bertujuan memanifestasikan kemajuan negara menerusi kecemerlangan bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.1 Mengikut rekod, kepakaran awal UTM dibina melalui penubuhan Fakulti berdasarkan lima bidang pengkhususan; Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Jentera (kini sebagai Mekanikal), Kejuruteraan Elektrik, Ukur (kini sebagai Geoinformasi dan Harta Tanah) dan Alam Bina yang disokong oleh Pusat Pengajian Sains (kini sebagai Fakulti Sains).

Peranan UTM sebagai institusi kecemerlangan negara semakin terserlah dengan pengiktirafan yang diberikan sebagai Universiti Penyelidikan pada tahun 2010. Dengan itu, UTM berperanan penting untuk menjana keupayaan intelek negara dengan menggerakkan agenda kemajuan pengetahuan, teknologi dan inovasi.2 Dalam hal ini, reputasi UTM terus teraku menerusi kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan termaju bagi mencapai misi membangun bakat holistik dan mensejahtera kehidupan menerusi ilmu dan inovasi teknologi.

Sains, Teknologi dan Kejuruteraan UTM

Merujuk kepada perkembangan awal penyelidikan universiti, sememangnya UTM telahpun mengenalpasti bidang serlahan yang perlu diberikan keutamaan terutamanya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.3 Antaranya adalah dengan mempelopori teknologi kecerdikan buatan untuk aplikasi bidang awam, elektrik, mekanikal dan kimia; memacu penyelidikan bioteknologi dan alam sekitar dan memperkenalkan teknologi membran untuk aplikasi alam sekitar dan kesihatan.

Selain itu, tujahan penyelidikan UTM juga meliputi sains bahan, teknologi berkaitan minyak dan gas, kejuruteraan maritim serta bidang mekatronik yang menggabungkan teknologi asas mekanikal, elektonik dan informatik bagi aplikasi seperti sistem kawalan, robotik dan penderia.

Memahami sumbangan penting penyelidikan untuk membina kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara, UTM terus menghasilkan pelbagai penemuan saintifik dan penyelidikan berimpak. Dalam konteks tersebut, kejayaan UTM dalam menghasilkan harta intelek negara yang berasaskan sains dan teknologi telah mendapat pengiktirafan.

UTM selaku penerima Anugerah Harta Intelek Negara

Misalnya, UTM merupakan Institusi Pendidikan Tinggi pertama yang menerima Anugerah Harta Intelek Negara. Dalam hal ini, hasil intelek merupakan aset utama dalam persekitaraan ekonomi model baharu4. Justeru, kejayaan ini menepati fungsi universiti sebagai institusi pemikir dan pusat inovasi negara.5

Di peringkat UTM, program pameran inovasi dan teknologi INATEX (Kini sebagai Innovate Johor) menjadi platform bagi penyelidik universiti mengetengahkan hasil penyelidikan dan membina jaringan kerjasama bersama industri. Antara inovasi yang telah diiktiraf terbaik adalah seperti pembangunan perisian untuk mengawal kadar dengupan jantung, penggunaan sisa daripada sumber pertanian untuk mencipta bahan penyerap, kaedah lestari pembungkusan makanan, sistem amaran hujan dan penuaian air hujan serta penggunaan ekstrak tumbuhan untuk menghasilkan produk kosmetik dan kesihatan.6

Rekabentuk Baharu Penyelidikan

Budaya penyelidikan sememangnya telah menjadi identiti UTM. Walaubagaimanapun, pemerkasaan agenda bersama naratif baharu penyelidikan perlu terus diterokai untuk menjadikan penyelidikan UTM kekal unik, terus relevan dan menghasilkan impak yang tinggi dalam mensejahtera kehidupan.

Selain itu, jajaran penyelidikan baharu perlu dipetakan mengikut keperluan dan inovasi serta transformasi teknologi terkini dalam bidang seperti infokomunikasi, kecerdikan buatan, Objek Rangkaian Internet, data raya, automasi, nanoteknologi, bahan termaju, komputer kuantum, tenaga masa depan, keselamatan air dan keselamatan makanan berdasarkan kerangka kerja MySTIE 10-10. Dalam hal ini, UTM terus menerajui penyelidikan bagi menyumbang kepada kemakmuran sejagat serta meneroka idea bagi menyediakan cadangan penyelesaian yang praktikal, boleh capai dan mampu milik.6

Melihat ke hadapan, teras perluasan ufuk penyelidikan perlu dibina berdasarkan terjemahan penemuan ilmu baharu yang dihasilkan daripada penyelidikan kepada manfaat penyelesaian industri dan dirasai oleh seluruh komuniti. Dengan itu, inovasi penyelidikan berimpak tinggi harus dibangunkan dengan matlamat memperkasakan sosio-ekonomi dan ekosistem inovasi, yang kini diterjemahkan dengan penubuhan platform AIM4STAR.7

Bagi UTM, inovasi penyelidikan untuk manfaat komuniti telah berjaya dilonjakkan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri Johor dengan penubuhan Institut Inovasi Strategik Johor (Kini sebagai Johor Innovation Valley JIVe).8 Hasrat ini bertujuan membangunkan ekosistem Johor sebagai Lembah Inovasi melalui penciptaan kekayaan melalui kemajuan penyelidikan dan ilmu pengetahuan utk komuniti.

Penyelidikan Translasional Untuk Manfaat Negara dan Global

UTM juga mengaplikasikan konsep penyelidikan translasional bagi memenuhi keperluan komuniti dan industri. Ini bermakna bermula daripada penyelidikan sains asas, ilmu yang dijana seterusnya diaplikasikan bagi menyelesaikan masalah sebenar melalui inovasi teknologi dan pendekatan baharu. Kemudian, hasil tersebut diterjemahkan untuk manfaat kehidupan komuniti dan produktiviti industri.

Kini, UTM telah menjajarkan tujahan bidang penyelidikan kepada 5 keutamaan iaitu Kejuruteraan Inovatif, Kelestarian Sumber, Kesihatan dan Kesejahteraan, Bahan Termaju dan Komuniti Digital Pintar melalui penubuhan ‘Research Alliance’.9 Kekuatan tradisi UTM dalam bidang kejuruteraan membolehkan pelbagai inovasi terkehadapan dihasilkan seperti dalam sektor pembinaan dan infrastruktur, pengangkutan, komunikasi dan mobiliti. UTM juga memberikan fokus kepada kelestarian dengan inovasi dalam pembangunan tenaga hijau dan tenaga masa depan, sumber air serta penghasilan semula sumber.

Manakala, tumpuan terhadap bidang kesihatan dan kesejahteraan adalah dalam pembangunan pengetahuan dan ekonomi berasaskan bio dengan menggunakan potensi sumber biologi dan sains semulajadi dengan gabungan kejurututeraan bioproses, bioperubatan dan teknik bioinformatik.

Tumpuan pembangunan bahan termaju pula adalah melalui penghasilan lestari melibatkan bahan seperti nano, komposit, optik dan aplikasi pemeprosesan teknologi seperti teknologi membran, laser dan kecerdikan buatan. Seterusnya, pembangunan komuniti digital pintar memerlukan kepakaran rentas bidang yang berfokus kepada pembangunan berteras data analitik dan kecerdikan bisnes, bandar pintar, pendidikan pintar dan pengurusan pintar.

Kelima-lima teras bidang tersebut dimajukan melalui penubuhan institusi dan pusat penyelidikan seperti Pusat Komunikasi Tanpa Wayar, Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju, Institut Kebisingan dan Getaran, Institut Pembangunan Bioproduk, Institut Ibnu Sina untuk Penyelidikan Saintifik dan Industri, Institut Penyelidikan untuk Kelestarian Alam, Institut untuk Infrastruktur Pintar dan Pembinaan Inovasi, Institut untuk Kejuruteraan Sistem Kenderaan, Institut untuk Kejuruteraan Berteras Manusia dan Institut untuk Tenaga Masa Hadapan.

Pusat Kecemerlangan berteras tumpuan bidang UTM utama juga diwujudkan seperti Institut Voltan dan Arus Tinggi, Institut Minyak dan Gas, Pusat Kecerdikan Buatan dan Robotik, Pusat Pendidikan Kejuruteraan serta Pusat Pembelajaran Termaju Islam, Sains dan Ketamadunan.

Menerusi perancangan enVision 2025 bersama Pelan Tindakan Penyelidikan dan Inovasi 2025, UTM disasarkan terus berupaya memperkasa bidang tujahan, memperkukuh sinergi komuniti dan industri serta menerobos kerjasama global praktikal.10 UTM kini berada dalam kedudukan terbaik untuk terus memacu kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Dengan tersematnya moto keramat ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’, UTM kekal komited menjadi institusi pendidikan dan penyelidikan ulung negara serta dunia, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan, selain membina jalinan strategik dan bermakna dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.11 Tentunya UTM akan terus mensejahtera kehidupan, seperti hasrat penubuhannya 50 tahun dahulu.

UTM 50 tahun: Menyempurna pendidikan, Memimpin penyelidikan, Mensejahtera kehidupan.

Rujukan:

  1. Zainuddin Ayip, Matlamat UTM melahirkan ahli teknologi cekap, Utusan Malaysia, 10 Mac 1982: Petikan daripada buku Ainuddin Wahid Pejuang ‘Degil Melayu’, 2015, Penerbit UTM.
  2. Wahid Omar, Menerajui Inovasi Ke Arah Kemakmuran Sejagat, 2015, Penerbit UTM.
  3. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, Mendepani Cabaran ke Arah Universiti Bertaraf Dunia, 2007, Penerbit UTM.
  4. Zaini Ujang, Akademia Baru, 2012, Penerbit UTM.
  5. Wahid Omar, Kelestarian Pendidikan Tinggi Ke Arah Penghasilan Berimpak, 2016, Penerbit UTM.
  6. Wahid Omar, Menjayakan Kelangsungan Sebuah Universiti, 2017, Penerbit UTM.
  7. Lihat: https://news.utm.my/ms/2020/02/aim4star-utm-perkasa-hubungan-industri-dan-komuniti-tangani-masalah-sejagat/
  8. Lihat: https://jive.utm.my/
  9. Lihat: https://www.utm.my/dvcri/research-alliance/
  10. Ahmad Fauzi Ismail, Lima Agenda Perdana Memperkasa Komitmen Memacu Kecemerlangan, 2022, Penerbit UTM.
  11.  Lihat: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/933601/utm-institusi-pendidikan-penyelidikan-unggul

Explore More