Disediakan oleh: Ana Haziqah A Rashid, Prof. Dr. Siti Aisyah Panatik Abdul Rahman
Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada pelbagai pihak terutamanya kepada golongan B40 di Malaysia. Bahagian statisik Malaysia telah menyatakan sebanyak 0.6 juta bilangan rakyat dalam golongan B40 di Malaysia yang telah meningkat pasca Covid-19 yang sebelum ini hanya sebanya 0.3 juta. Kedudukan ekonomi rakyat golongan B40 ini juga telah memberikan kesan kepada tahap kesihatan mental mereka.
Kajian menunjukkan tahap tekanan, kegelisahan dan kemurungan golongan B40 ini berada pada tahap sederhana sehingga sangat teruk. Data mengenai kesejahteraan hidup dalam golongan B40 juga menujukkan tahap yang agak membimbangkan.
Justeru, penyelidik UTM dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi yang diketuai oleh Prof. Dr. Siti Aisyah binti Panatik mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Bersama dengan stakeholder bagi mengenalpasti program sedia ada yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk golongan B40 dan mengenalpasti faktor-faktor kesejahteraan dalam golongan B40.
Bengkel ini juga bertujuan mendapatkan cadangan-cadangan program yang boleh dijalankan untuk meningkatkan kesejahteraan gologan B40. Bengkel ini merupakan salah satu aktiviti di dalam kajian untuk membangunkan kerangka kesejahteraan golongan B40, khususnya di Negeri Johor dibawah geran FRGS oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Antara pihak yang dijemput termasuklah Ketua WHIP, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kulai, Penolong Pegawai Psikologi dan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyakarat Negeri Johor, Penghulu Kanan, Pejabat Daerah Kluang, Penduduk Kampung Sepakat Baru dan Penduduk PPR Taman Desa Mutiara.
Dalam bengkel yang telah diadakan di Double Tree by Hilton Hotel ini turut disertai oleh dua orang fasilitator dari Universiti Teknologi Malaysia iaitu Dr Ana Haziqah A Rashid dan Cik Errna Nadhirah Kamalullil.
Hasil dari penbincangan ini telah mengumpulkan beberapa masalah yang dihadapi oleh golongan B40 serta bantuan-bantuan yang sedia ada dari kerajaan terutamanya yang diuruskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat serta bantuan kerajaan negeri.
Perbincangan ini juga telah dapat mengumpulkan beberapa cadangan untuk menambahbaik bantuan sedia ada supaya lebih sesuai dengan masalah dan keperluan golongan B40 ini. Perbincangan yang telah berakhir pada jam 1.00 petang ini telah memberikan banyak input yang berguna dan akan dilaporkan dengan lebih lanjut dalam kerangka kajian yang akan dihasilkan.
Ini selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan yang ketiga bagi merealisasikan kesejahteraan sosial dalam masyarakat.