November 22, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Konvokesyen ke-64 UTM menjadi satu kenangan yang cukup indah bagi graduan Sarjana Falsafah, MJIIT, Puan Husna Aini binti Swarno kerana dapat menghadiri majlis graduasi yang telah tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, ia menjadi lebih bermakna kerana adik kandungnya, Fatin Nabilah binti Swarno yang merupakan graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan Komputer) turut berkongsi bergraduasi dalam majlis konvokesyen yang sama.

Menurut Husna Aini, ini pastinya menjadi kenangan yang indah bagi kami berdua apabila berpeluang meraikan detik gembira ini bersama-sama setelah majlis yang sepatutnya telah tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika sama-sama dalam tempoh pengajian.

“Saya memberi sokongan moral dan bantuan ketika dia jatuh semangat ketika pengajian, supaya dia bangkit semula untuk kami tamatkan pelajaran dan meraihkan kejayaan bersama.

Sememangnya sesuatu yang amat mencabar untuk bergelar seorang pelajar, isteri dan juga ibu kepada anak kecil pada masa yang sama,” kata beliau.

“Saya amat berterima kasih kepada suami tercinta yang amat memahami dan sentiasa memberi sokongan serta galakan kepada saya.

Pengorbanan yang telah dia lakukan adalah sangat besar dan bermakna demi memastikan kejayaan saya pada hari ini, katanya lagi.

Husna Aini kini sedang menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam tahun kedua di Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), UTM Kuala Lumpur.

Selain sokongan dan galakan dari suami, kata-kata nasihat serta pesanan dari ayah dan ibu turut menjadi dorongan bagi beliau untuk meneruskan pengajian hingga ke tahap ini.

“Adalah menjadi impian ibu bapa saya untuk melihat kami adik beradik berjaya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat yang tertinggi.

“Saya berharap masalah Covid-19 ini akan segera berakhir supaya apabila saya menamatkan pengajian Ph.D nnt, ibu bapa saya dapat hadir ke majlis konvokesyen untuk sama-sama meraikannya,” kata Husna Aini lagi.

Di samping itu, Husna Aini turut memasang impian untuk menyambung kerjayanya sebagai seorang pengajar di UTM selepas tamat pengajiannya itu.

Menurutnya, memang menjadi cita-citanya sejak kecil untuk menjadi guru dan berharap impiannya untuk berbakti sebagai pensyarah di UTM akan tercapai.

“Saya mendapatkan Diploma, Ijazah dan kini Ijazah Sarjana semuanya dari UTM dan ikatan antara saya dan UTM amat kuat. Kerana itulah saya berbesar hati untuk berkhidmat menabur bakti di sini,” katanya lagi.

Explore More