April 29, 2024

Search
Close this search box.

UTM Techmission 2021 @ Yan: KPT & UTM Santuni Mangsa Bencana Kepala Air di Kedah

YAN, 25 Sept. – Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, telah meluangkan masa mengadakan lawatan dan sesi ramah mesra di Rumah Wakil Penduduk, Kg. Bukit Tumboh Yan yang terjejas akibat tragedi kepala air baru-baru ini.

Lawatan tersebut bersempena dengan program Misi Bantuan Pasca Bencana Yan, Kedah anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM Techmission 2021 @ Yan) untuk memasang paip air bagi saluran membekalkan air bersih kepada penduduk di sekitar kaki Gunung Jerai.

Kejadian banjir kilat yang melanda kawasan tersebut pada 18 Ogos 2021 lalu akibat fenomena kepala air telah mengakibatkan penduduk kampung di sekitar daerah Yan terputus bekalan air bersih.

Oleh itu UTM telah mengambil inisiatif menjalankan misi bantuan tersebut untuk memasang paip air sebagai saluran bekalan air bersih bagi keperluan harian kepada 2,000 orang penduduk daripada 500 buah keluarga yang terjejas.

Semasa sesi lawatan tersebut, YB Menteri berkata, peranan universiti awam amat diperlukan dalam merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seperti mengaplikasikan hasil penyelidikan dan pembangunan untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat seterusnya membangunkan ekonomi negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad semasa sesi lawatan ke Kampung Bukit Tumboh, Yan

“Justeru, inisiatif mulia UTM dengan menjalankan projek pemasangan paip air untuk memulihkan bekalan air bersih kepada penduduk yang telah terputus semenjak bencana tersebut adalah amat bertepatan dan wajar dijadikan teladan.

Ini kerana program seumpama ini mampu memberi pendedahan yang baik kepada komuniti yang terlibat sejajar dengan usaha KPT untuk mendekatkan warga akademia dengan Komuniti Luar Bandar agar dapat menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti setempat, ” kata beliau.

Sementara itu Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail berkata universiti sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban masyarakat terutamanya pada era pandemik yang sangat mencabar ini.

Datuk Fauzi (kanan) bersama pasukan sukarelawan UTM semasa membawa YB Menteri ke kawasan terjejas

Menurut beliau, selaras dengan misi ‘Mensejahterakan Kehidupan’, UTM amat prihatin terhadap bencana yang berlaku dan sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan tanggungjawab sosial warga universiti terhadap komuniti.

“Pasukan sukarelawan UTM yang terdiri daripada staf dan pelajar UTM Kuala Lumpur telah berjaya memasang paip air polimer sepanjang 4,000 meter sebagai saluran bekalan air bersih untuk memanfaatkan mangsa yang terjejas.

Projek ini melibatkan kerja-kerja pemasangan paip polimer baharu bersaiz 2 inci, 1.5 inci, dan 1 inci yang menghubungkan antara sumber air bersih (kawasan takungan air semulajadi) dengan rumah-rumah penduduk setempat,” kata beliau.

Tambah beliau, bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mangsa dalam membina semula kehidupan setelah terjejas akibat bencana banjir tersebut.

Terdahulu, sesi pelepasan Flag-Off yang diketuai oleh Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh selaku Penaung dan diiringi oleh En. Mohd Najib bin Masroom yang juga merupakan Ketua Pentadbiran di UTM Kuala Lumpur telah diadakan pada 20 Sept.

Diketuai oleh En. Khairul Zaman bin Mohd Radzi selaku Ketua Penyelaras Program, pasukan misi ini melibatkan 67 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf berkemahiran teknikal dan pelajar-pelajar UTM.

Explore More