Disember 19, 2024

Diam tak diam, tanah air kita yang tercinta ini sudah menjejak usia kemerdekaan yang ke-64 tahun menjelang 31 Ogos 2021. Menyingkap kembali amanat YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri yang pertama selaku Bapa Kemerdekaan:-

‘Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapati, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu, iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan.’

Menginsafi bahawa kemerdekaan itu sendiri memerlukan ‘pengobanan yang sebenar pengorbanan’, dan perkara tersebut sudah pun direalisasikan oleh nenek moyang kita tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan, maka kini tibalah giliran kita memikul tugas dan bersatu hati melaksanakan ‘pengorbanan yang sebenar pengorbanan’ tersebut. Jika dahulu, perjuangan menuntut kemerdekaan memerlukan nenek moyang kita mengangkat senjata, bermandi keringat berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Namun kini, perjuangan kita adalah untuk merdeka daripada jangkitan wabak Covid-19, dengan pematuhan dan kekal disiplin kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), juga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjadi senjata utama demi memastikan rakyat Malaysia terus ampuh bertahan.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian

Definisi ‘pengobanan yang sebenar pengorbanan’ tidak lengkap tanpa kita berbicara mengenai susah payah dalam perjuangan demi mencapai kejayaan. Rakyat Malaysia sudah pun berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020. Versi PKP pula dipelbagaikan mengikut situasi semasa jangkitan Covid-19 dengan pengenalan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Menjelang Jun 2021 pula, Pelan Pumulihan Negara (PPN) diperkenalkan menggantikan PKP, dengan indikator yang lebih komprehensif seperti kadar penggunaan wad ICU dan kadar vaksinasi, tidak sebelum ini yang hanya bersandar kepada jumlah kes harian sahaja.

Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) UTM merupakan antara sebahagian inisiatif kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity).

Inilah dia yang dikatakan ‘pengorbanan yang sebenar pengorbanan’, dengan menginsafi bahawa strategi ini sedikit sebanyak akan menjejaskan sistem ekonomi negara, dengan pendapatan rakyat terutama yang bekerja sendiri pasti terjejas di samping turut memberikan impilikasi kepada sistem pendidikan dan sistem sosial masyarakat. Namun, jika tidak dibuat sebarang inisiatif sekatan atau kawalan pergerakan, musibah besar boleh melumpuhkan sistem kesihatan awam terutama di hospital-hospital kerajaan, sekaligus menjejaskan moral barisan hadapan pasukan perang dalam mendepani wabak Covid-19. Sesungguhnya, jika ada pingat jasa kebaktian untuk dianugerahkan, maka selayaknya rakyat Malaysia yang kekal berdisiplin berhak mendapatnya.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Strategi menuntut kemerdekaan dari British memerlukan kerjasama yang erat dan padu semua pihak pada ketika itu tanpa mengira bangsa dan keturunan. Hal ini turut terpakai dalam memastikan Malaysia menang dan merdeka daripada cengkaman wabak Covid-19, dengan kunci kemenangannya ialah untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity). Jika dahulu, senapang M16 dan kereta perisai Condor menjadi antara senjata ampuh dalam perjuangan mencapai kemerdekaan dan menghapuskan pengganas komunis, kini kita memerlukan Pfizer, AstraZeneca, Sinovac dan baru-baru ini CanSino sebagai senjata ampuh untuk merdeka daripada wabak Covid-19.

Antara warga UTM yang bertugas sebagai sukarelawan di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) UTM di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).

Oleh sebab itu, rakyat Malaysia yang prihatin sewajarnya bersatu hati menyahut seruan untuk mengambil vaksin sebagai salah satu ikhtiar mendepani gelombang Covid-19. Keberkesanan vaksin sudah mula menunujukkan hasilnya, apabila trend penurunan pesakit Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 berjaya dilihat di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Sarawak dan Negeri Sembilan. Secara tidak langsung, dengan kurangnya pesakit Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 (kategori serius yang biasanya memerlukan bantuan oksigen), ia akan membantu dan meringankan beban yang ditanggung pasukan barisan hadapan, sekaligus memastikan fasiliti kesihatan awam tidak lumpuh.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat

Kestabilan politik menjadi kunci kekuatan sesuatu kerajaan. Dalam keadaan yang tidak menentu ini (unprecedented situation), sebarang usaha menangguk di air yang keruh, terutama dalam merebut kuasa politik dilihat amat tidak wajar, dalam keadaan rakyat yang di luar sana umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Belum pernah dalam lakaran sejarah negara, Malaysia sudah bertukar tiga Perdana Menteri dalam tempoh kurang satu penggal, gara-gara ketidakstabilan politik yang berlaku. Seharusnya pemimpin-pemimpin politik di negara ini menghayati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, supaya fokus utama diberikan kepada maslahah yang sedang dihadapi oleh rakyat iaitu pandemik Covid-19, yang dalam masa yang sama turut terpalit sekali implikasi ekonomi, pendidikan dan sosial masyarakat.

Satu sejarah baharu negara terlakar apabila Malaysia bertukar tiga Perdana Menteri dalam tempoh tidak sampai satu penggal.

Di samping itu, pemimpin-pemimpin politik di negara ini, tidak kira sebagai pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang wajar menginsafi titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong, bahawa ‘yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua’, sekaligus ia menjadi isyarat yang jelas bahawa Tuanku mahu semua pemimpin-pemimpin politik tanpa mengira ideologi ini bersatu hati dalam mewujudkan perpaduan dan penyatuan dalam menggembleng tenaga bersama-sama mendepani pandemik Covid-19. Adalah diharapkan, dengan pelantikan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9, semua pemimpin politik merentas parti akan dapat saling bekerjasama demi mencapai hasrat Malaysia merdeka daripada Covid-19.

Keluarga Malaysia

Merdeka bukan sekadar lagu dan irama

Merdeka tidak hanya mengibar bendera

Manifestasi merdeka adalah lambang keprihatinan semua

Keprihatinan merentasi agama dan bangsa

Demi Malaysia merdeka sepenuhnya

Dari wabak yang mencengkam jiwa.

Buat semua pejuang negara yang gugur mendahului kita

Pejuang merdeka nenek moyang kita

Pejuang Covid-19 Keluarga Malaysia kita

Al-Fatihah.

Explore More