November 25, 2024

Search
Close this search box.
POSTER WANITA BEBASKAN DIRIMU

Webinar ‘Rokok dan Vape : Wanita Bebaskan Dirimu!’ Anjuran Kelab PEMADAM UTM Didik Mahasiswa Jauhi Rokok Dan Vape

Kelab Mahasiswa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Kaunseling UTM, Persatuan Wanita UTM, Kelab Program Siswa Sihat UTM,Pejabat Kesihatan Negeri Johor, PEMADAM Negeri Johor dan PEMADAM Kebangsaan telah berjaya menganjurkan webinar ‘Rokok dan Vape : Wanita Bebaskan Dirimu!’ bagi meraikan Hari Wanita Antarabangsa secara dalam talian buat julung kalinya.

Webinar ini dilaksanakan hasil cetusan idea Majlis Tertinggi Kelab yang mahukan Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM terus aktif menganjurkan program-program berimpak tinggi dan bermanfaat buat semua ahli kelab khususnya bagi mahasiswi UTM.

Secara tidak langsung, program ini juga turut dapat dikongsikan manfaatnya kepada seluruh mahasiswi UTM dan komuniti yang mengikuti program ini di atas talian.

Hari Wanita Sedunia ini di sambut pada 8 Mac setiap tahun bagi meraikan peranan wanita sebagai perintis kepada kemajuan generasi.

Selari dengan tema sambutan Hari Wanita pada tahun ini iaitu ‘Wanita : Bangkit Mendepani Cabaran’, keperluan dalam memberikan pendedahan tentang keburukan merokok adalah dilihat sangat penting untuk melahirkan seorang wanita bekerjaya yang sihat dan gembira.

Hal ini kerana, pada tahun 2015, kira – kira 22.8% orang dewasa di Malaysia iaitu mereka yang berusia lebih dari 15 tahun adalah perokok.

Jumlah ini mewakili lebih daripada seorang dalam setiap lima orang dewasa dan 1.4% daripada mereka yang merokok adalah wanita.

Merokok dalam kalangan wanita bukanla sesuatu yang baharu dalam masyarakat di Malaysia, namun is juga telah dijadikan sebagai suatu kebiasaan terutamanya penggunaan rokok elektroknik (vape).

Jadi, apakah yang mendorong golongan wanita merokok ini dan apakah kesan-kesan yang akan dihadapi dalam masa terdekat?

Umumnya, pelbagai kempen telah dilakukan melalui media massa bagi memberikan pendedahan tentang keburukan merokok.

Usaha ini seharusnya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya merokok.

Begitu juga, penguatkuasaan undang-undang yang melarang penjualan rokok kepada pembeli di bawah usia 16 tahun dan pengenaan cukai yang tinggi terhadap harga penjualan rokok juga harus membantu memastikan bahawa merokok di masyarakat dibendung, dikendalikan, dan dikurangkan.

Sekiranya ia tidak dihapuskan sama sekali. Walau bagaimanapun, jumlah perokok terus meningkat setiap tahun.

Masa remaja adalah tempoh merokok yang paling sensitif.

Perubahan pembangunan diri remaja terutamanya mahasiswi serta peralihan dari zaman kanak-kanak ke dewasa mencetuskan pelbagai keinginan untuk mencuba perkara baru, termasuklah merokok.

Penggunaan rokok semasa remaja dianggap sebagai tingkah laku eksperimentasi buat remaja sebelum menjadi perokok tegar ketika mencapai usia dewasa.

Webinar jauhi rokok dan vape ini menampilkan penceramah wanita muda iaitu Dr. Nor Hana binti Ahmad Bahuri.

Penceramah ini merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor. Menerusi webinar ini, Dr. Nor Hana telah berkongsi ilmu dan panduan berguna bagi mengatasi gejala rokok dan vape ini.

Program yang dilaksanakan secara atas talian di dalam Facebook Kelab PEMADAM UTM ini telah berjaya mendapat sebanyak 1.2 ribu tontonan.

Para peserta yang telah mengikuti program atas talian ini terdiri daripada mahasiswa dan staf UTM, serta mahasiswa daripada IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dan juga orang awam.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan Saudari Nurul Shafira bertindak sebagai Moderator dan Dr. Nor Hana binti Ahmad Bahuri, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor selaku penceramah Webinar ROKOK & VAPE : WANITA, BEBASKAN DIRIMU!

Melalui program webinar ‘Rokok dan Vape : Wanita, Bebaskan Dirimu!’ ini, ia diharap dapat mendedahkan kepada para pelajar dan komuniti setempat tentang bahayanya amalan menghisap rokok dan rokok elektronik (vape).

Ia juga diharap dapat memperluaskan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kesedaran semua pihak melalui pembentangan kertas kerja atas beberapa tajuk berkaitan tabiat menghisap rokok dan rokok elektronik dikalangan belia wanita dan lelaki. Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas asap rokok.

Kita mengharapkan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Menteri Kesihatan akan terus memberikan komitmen terhadap usaha dan langkah – langkah untuk menjadikan negara Malaysia bebas daripada asap rokok pada tahun 2045 atau lebih awal.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan Saudari Nurul Shafira dan Dr. Nor Hana binti Ahmad Bahuri memegang prop berkaitan jauhi rokok dan sayangi diri di penghujung Webinar ROKOK & VAPE : WANITA, BEBASKAN DIRIMU!

Kesimpulannya, Webinar ROKOK & VAPE : WANITA, BEBASKAN DIRIMU! ini diharap akan memberi impak positif terhadap mahasiswa dan warga UTM dan memastikan sempena Hari Wanita Sedunia ini, wanita di Malaysia lebih terdedah dengan keburukan rokok dan vape yang semakin popular dalam kalangan wanita.

Webinar ini secara tidak langsung diharap dapat mengisi masa lapang mahasiswa UTM yang sedang belajar dari rumah untuk terus melibatkan diri dengan aktiviti ko-kurikulum berimpak tinggi.

Ia juga diharap dapat menarik minat dan medidik lebih ramai mahasiswa/mahasiswi dan wanita khususnya untuk menjauhkan diri daripada tabiat merokok demi menjamin kehidupan sihat dan berkualiti.

Explore More