April 28, 2024

Search
Close this search box.

Agenda global Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadikan indikator dan panduan utama oleh Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) dalam usaha untuk memastikan kelestarian bukan hanya dilihat dari sudut alam sekitar semata-mata, malah ia turut mencakupi kesejahteraan masyarakat sekeliling dan juga pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, demi kemampanan hidup generasi akan datang.

Menyedari hakikat ini, inisiatif ‘KTHO Waste to Wealth Hub’ diperkenalkan dan dilaksanakan dalam kalangan warga KTHO untuk tujuan pemerkasaan agenda kampus lestari, secara rasminya bermula pada tarikh 13 Mac 2021.

Hasil tanaman jagung pulut menerusi projek KTHO Waste to Wealth Hub.

Sehingga 13 Julai 2021, iaitu genap empat bulan pelaksanaannya, banyak manfaat yang telah diperoleh warga KTHO terutamanya menerusi elemen penyelidikan, perkongsian pengetahuan, dan praktikal sekaligus membuktikan konsep kitaran pertanian lestari sebenarnya mampu dicapai, mengambil kira UTM terutamanya kawasan kolej kediaman mempunyai kawasan yang sesuai.

Malah, gagasan projek ini sebenarnya mempunyai potensi besar dalam menjana pendapatan kepada UTM.

Hasil tanaman terung di sekitar kawasan KTHO.

Menerusi projek ini, KTHO telah berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa dengan memanfaatkan sisa-sisa domestik (sisa organik, sisa dapur dan sisa pertanian) yang terhasil daripada persekitaran, ia mampu dikembalikan semula ke tanah dalam bentuk penghasilan baja peram dan baja organik untuk penghasilan dan tumbesaran tanaman, tanpa perlu menggunakan sebarang baja kimia.

Dalam tempoh empat bulan pelaksanaan projek, tanaman-tanaman seperti jagung pulut, cili centil, terung, kacang panjang dan brokoli dilihat telah mengeluarkan hasil yang sangat produktif.

Malah, hasil tanaman secara organik ini telah mendapat permintaan yang menggalakkan terutama dalam kalangan warga UTM sendiri.

Perkembangan yang amat positif ini memungkinkan untuk projek ini dilaksanakan dalam skala yang lebih besar terutama dengan penglibatan secara terus mahasiswa dan mahasiswi UTM sekaligus mencapai hasrat entrepreneurial-minded dalam kalangan mereka.

Hasil tanaman pokok cili centil yang amat produktif.

Di samping itu, projek ini juga berjaya menghasilkan kitaran pertama penternakan ayam secara organik sebanyak 70 ekor, yang mana ayam daging yang diternak ini diberi makanan organik seperti daun ketum ayam (madre de agua) dan hampas kelapa.

Dalam tempoh 50 hari, ayam-ayam ini mampu mencapai julat berat antara 1.6 sehingga 2.1 kg.

Penternakan ayam organik dilihat amat berpotensi untuk dilaksanakan memandangkan UTM mempunyai kawasan yang amat sesuai untuk projek seumpama itu seperti Dusun UTM.

Ayam organik yang diternak diberi makan daun ketum ayam dan hampas kelapa.

Menyentuh elemen penyelidikan dan perkongsian pengetahuan, warga KTHO telah didedahkan dengan beberapa siri perkongsian seperti praktikal penghasilan baja organik FFJ (fermented fruit juice), praktikal pemantauan faktor kesuburan tanah, sesi rawatan penyuburan tanah menggunakan sisa makanan, praktikal percambahan biji benih, pembuatan baja daripada sisa makanan domestik menggunakan teknik bokashi, dan pengkomposan dengan menggunakan teknik kultur hugel.

Selain itu, projek ‘KTHO Waste to Wealth Hub’ ini turut menjadi platform penyelidikan dan pengumpulan data projek sarjana muda (PSM) untuk empat orang pelajar dari Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM.

Elemen penyelidikan turut diketengahkan menerusi Projek Sarjana Muda (PSM) bagi pelajar Jabatan Biosains Fakulti Sains UTM.

Tuntasnya, projek ‘KTHO Waste to Wealth Hub’ ini mempunyai potensi untuk UTM khususnya KTHO diserlahkan sebagai pusat latihan bagi pertanian lestari bagi masyarakat di sekitarnya, memandangkan projek ini dilihat sudah mampu memberikan impak positif terutama daripada aspek penyelidikan, perkongsian pengetahuan, dan praktikal dalam kalangan warga UTM.

Hasil tanaman kacang panjang dan brokoli turut menghiasi kawasan KTHO.

Explore More