November 22, 2024

Search
Close this search box.
YB Puan Yeo Yee Bin bergambar bersama urus setia EIIDay semasa majlis penutup

JOHOR BAHRU, 12 Sept. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan UTM Engineering-Industry Innovation Day (EIIDAY 2019) bertujuan untuk memangkin kerjasama antara UTM dan industri terutamanya dalam era Revolusi Industri ke-4 bagi menyokong pembangunan industri dan negara.

Program yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan UTM ini telah diadakan pada 11-12hb September 2019 bertempat di Dewan Senat dan Dewan Sultan Iskandar UTM Kampus Johor Bahru dengan tema “Engineering the Future through Synergetic Collaboration”.

Program ini diadakan sempena genap ulang tahun sinergi 4.0 UTM di mana enam Fakulti Kejuruteraan UTM dalam pelbagai bidang digabungkan menjadi satu, menjadikan ianya Fakulti Kejuruteraan yang terbesar di Malaysia dengan 702 orang staf akademik.

EIIDAY 2019 telah menyediakan platform perantaraan yang mempamerkan kepakaran, produk-produk penyelidikan dan pelbagai peluang kerjasama universiti-industri dalam bidang kejuruteraan terutama dari segi inovasi dan penyelidikan yang diperlukan oleh industri.

Ia juga bertujuan mendapatkan input “research foresight” dan keperluan penyelidikan berimpak dari pelbagai perspektif termasuk daripada industri, agensi kerajaan dan masyarakat melalui pelbagai ceramah dan forum.

Program ini juga dijangka dapat memangkin dan merancakkan pelbagai bentuk kerjasama antara industri dengan UTM ke arah menjayakan visi negara maju dalam era ekonomi inovasi.

Hari pertama program EIIDAY 2019 dijayakan dengan penganjuran lima forum dan dua pembentangan yang melibatkan 16 panelis undangan dari pengurusan tertinggi industri dan universiti.  Forum membincangkan semua aspek IR 4.0 termasuk Data Raya, Robotik, Kepintaran Buatan, Automasi dan Pendigitalan dalam industri pembuatan, pembinaan dan perniagaan.

Ia juga merangkumi insentif kolaborasi antara universiti dan industri dan peluang-peluang pembiayaan bagi projek pembangunan dan pengurusan projek inovasi di industri.

Antara panelis yang mengambil bahagian dalam forum ini adalah dari Johor Corporation, Pharmaniaga, Alcon, SAS Malaysia, DF Automation, CREST, MTDC, Smart Tech Tank, Mindmatics, Pepperl + Fuchs, CREAM, PMIM, dan Bosh Rexroth. Manakala panel akademik diwakili oleh Prof. Ir. Dr. Zainuddin Abd Manan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM dan Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan.

YB Puan Yeo Yee Bin bersama para VIP melawat pameran yang dilakukan oleh penyelidik

Selain hampir 200 pameran hasil penyelidikan dan inovasi oleh kumpulan/pusat penyelidikan dan pusat kecemerlangan dari Fakulti Kejuruteraan UTM, EIIDAY 2019 juga dijadikan platform oleh lebih 20 industri dan pelbagai badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk mempromosikan produk dan servis mereka.

Pihak industri turut didedahkan dengan kemampuan inovasi pelajar melalui penganjuran pertandingan melibatkan 23 kumpulan pelajar pra-siswazah yang terpilih dari pelbagai universiti di Malaysia dan pertandingan poster penyelidikan terpilih yang melibatkan 30 pelajar pasca-siswazah.

Bagi “Grand Challenges”, terdapat tiga tema utama pertandingan iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan (Good Health and Well-Being), Inovasi Industri dan Infrastruktur (Industry Innovation and Infrastructure), dan Bandar dan Komuniti Mampan (Sustainable Cities and Community).

Untuk pertandingan “Grand Challenges” kategori Kesihatan dan Kesejahteraan, tempat pertama dimenangi oleh kumpulan BB Care dari UTM dengan dengan inovasinya bertajuk “Portable IoT Fetal Monitoring System”.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh kumpulan FEMO dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Dream Team dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bagi kategori Inovasi Industri dan Infrastruktur pula, tempat pertama dimenangi oleh kumpulan Mighty Detector dari UTM dengan ciptaan yang bertajuk “Shoe Defect Detection System”. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh kumpulan ROD dan AIRU dari UMS. Manakala untuk kategori Bandar dan Komuniti Mampan, tempat pertama hingga ketiga digondol oleh pasukan dari UTM.

Tempat pertama dimenangi oleh kumpulan Hydro Health On-Demand (H2O) dengan inovasi bertajuk “Real-Time Water Quality Monitoring System”. Kumpulan Extra Eye dan Good Fella masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga kategori ini. Anugerah Rekabentuk Innovasi Terbaik Dyson dijuarai oleh kumpulan Extra Eye dari UTM. Manakala pembentang terbaik dimenangi oleh Joubert Joisin dari kumpulan Dream Team UMS.

Hadiah bernilai RM50,000 ditaja oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

CREST menaja sebanyak RM5,000 manakala Dyson menaja Anugerah Khas untuk reka bentuk inovatif terbaik. Pertandingan poster penyelidikan pelajar pula telah diungguli  oleh Linda Agun dengan tajuk posternya Cold Plasma: Future Technology for Mushroom Substrate Sterilization untuk merangkul tempat pertama. Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Mohd Hafizulhadi Mohd Asri dan Radhwan Hussin.

Ucaptama dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yang Berhormat Yeo Bee Yin. Beliau juga turut menyampaikan hadiah kepada semua pemenang “Grand Challenges”.

Pada majlis tersebut juga pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MOU), Memorandum Perjanjian (MOA), Surat Perjanjian (LOA), dan pengesahan tamat projek (LOC) antara UTM dengan 15 industri turut diadakan iaitu melibatkan Cuatro Services Sdn Bhd, Pepperl+Fuchs, Inbit Corp, Johor Centre for Construction Development (JCCD), Malaysia Marine Heavy Engineering (MMHE), Johor Corporation (JCorp), PROTON Holding Berhad, UST Unmanned Systems Sdn Bhd (UST-Deftech), Terreal (Malaysia) Sdn. Bhd, Top Glove Sdn. Bhd dan 4 Inisiatif Projek Baru melibatkan Geo Sense Sdn. Bhd, Alegion (M) Sdn Bhd, Palm Fiber Sdn. Bhd dan Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan Berhad.

Ahli Jawatankuasa Program EIIDay

Selain itu, pelancaran “UTM Big Data Fund” dengan dana permulaan dari Perbadanan Johor untuk JCORP Wifi Big Data Challenge juga turut dilangsungkan di mana para industri dialu-alukan menyumbang kepada dana untuk sebarang aktiviti inovasi data raya.

EIIDay 2019 ditaja oleh 12 syarikat termasuk 2 tajaan platinum oleh Micron Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd. dan OK Blockchain Centre Sdn. Bhd..

Seramai lebih 350 peserta industri dari 152 industri dan agensi telah hadir dan terlibat dalam program ini seperti OK Blockchain Centre, Malakoff, Sime Darby Plantation Berhad, Educity Iskandar, HID Global Sdn. Bhd, Dyson, Terreal, Rohde & Schwarz Technologies Malaysia Sdn Bhd, Petronas, Plus Berhad and Astaka Padu Sdn Bhd.

Explore More