November 26, 2024

Search
Close this search box.

Ke arah masyarakat minda merdeka dengan pendidikan kelestarian

Isu sampah import, isu sungai tercemar dengan toksik, pencemaran udara dan pelbagai lagi isu pencemaran alam sekitar bukan lagi sekadar masalah tempatan malah telah menjadi permasalahan peringkat nasional.

Mungkin pada golongan rakyat biasa, kita lihat ianya permasalahan berskala besar yang perlu diselesaikan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. Tapi tahukah anda kita sebenarnya yang lebih perlu memainkan peranan dalam menghadapi perkara ini?

Ini kerana kita sentiasa dijamu dengan pelbagai tabiat buruk masyarakat kita sendiri yang kita seolah-olah sudah pun terbiasa, seperti buang sampah melalui tingkap kereta, puntung rokok dibuang merata-rata, penggunaan barangan yang tidak mesra alam iaitu plastik dan lain-lain.

Di sebalik segala usaha kerajaan untuk merubah situasi ini, mentaliti berpuluh tahun sejak negara mencapai kemerdekaan masih di tahap sederhana.

Situasi beginilah menuntut perubahan mentaliti kepada setiap seorang dari kita. Sempena Sambutan Kemerdekaan yang ke-62 ini, kita harus memerdekakan minda kita dari tabiat yang tidak sihat ini melalui revolusi minda ke arah kelestarian.

Seperti bait lirik lagu Allahyarham Sudirman, berjuang dengan cara sendiri, hari ini perjuangan kemerdekaan mungkin bukan untuk mengangkat senjata lagi tetapi sewajarnya setiap warga Malaysia memahami dan benar-benar menerapkan pengertian kemerdekaan ini mengikut acuan yang sebenar, iaitu memerdekakan minda dari perkara negatif dan merubah kehidupan ke arah masyarakat minda kelas pertama melalui kelestarian.

Perkara inilah yang diperjuangkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak sekian lama. Sudah tiba masanya kita perlu membuang kefahaman dan amalan salah yang kita praktik dan berani merubah gaya hidup ke arah yang lebih lestari.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, berkata selaras dengan moto universiti iaitu ‘Kerana Tuhan untuk Manusia’, UTM menjadi institusi penggerak utama dalam membina nilai keinsanan dan kemanusiaan yang digarap menerusi agenda menelusuri denyut nadi insan.

“Ini bagi membina mentaliti kelestarian yang bukan berbentuk paksaan ataupun penentu ukur sesuatu kejayaan melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerana kelestarian perlu terbit dari minda dan hati yang punya sifat bertanggungjawab.

Pendidikan adalah medium untuk kelestarian dan merupakan solusi kepada pencemaran alam sekitar. Oleh itu ia menjadi tanggungjawab institusi pendidikan untuk mendidik dan memberi panduan serta contoh yang baik agar dapat mewujudkan masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama.

Ini kerana di universiti, kita berada dalam satu kelompok manusia yang paling signifikan iaitu kelompok yang akan membina masa hadapan yang penuh dengan kesejahteraan,” kata beliau semasa melancarkan

Kita perlu mewariskan sesuatu yang berharga untuk anak bangsa dan generasi masa depan.

Usaha UTM ke arah Kelestarian

Sehubungan itu, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) seharusnya menjadi panduan utama dalam setiap aspirasi universiti bagi menyemai minda kelas pertama masyarakat untuk bersama kerajaan dalam memelihara dan memulihara alam sekitar kerana pembangunan lestari bukan hanya agenda alam sekitar tetapi juga kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

SDG merupakan agenda global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memperkenalkan 17 matlamat yang perlu dicapai menjelang 2030 dan merupakan elemen penting sesebuah negara kerana ia merupakan agenda kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi.

Perubahan mentaliti yang diharapkan adalah dengan membina jati diri bakal pemimpin masa hadapan yang menjadi pelopor, pemantau, penyedia dan peneman setia menjaga keindahan alam sekitar dan bukan hanya terbeban kepada akta, garis panduan dan agensi kerajaan yang terbabit.

Oleh itu sudah menjadi tanggungjawab dan amanah utama yang perlu dilaksanakan iaitu untuk mendidik dan membina anak-anak kita supaya sentiasa berfikir untuk menyumbang kepada masyarakat demi masa depan yang lebih baik.

Menyedari hakikat ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalankan pelbagai projek kemasyarakatan yang bertunjangkan kepada SDG.

UTM mempromosi kampus hijau dan lestari apabila menjadi universiti pertama di negara ini melancarkan TELEPOD-UTM melalui penggunaan skuter elektrik dalam kampus,  melancarkan Kempen Sifar Sampah membantu mencapai matlamat sifar sampah iaitu pengurangan kos mengurus sampah sehingga 60 peratus dan mencapai aspirasi matlamat SDG ke-12 iaitu kebertanggungjawaban pengeluaran dan penggunaan.

Menerusi agenda Sifar Sampah, pihak pengurusan menyasarkan penurunan sisa plastik domestik dalam kampus berkurangan menjelang 2022 dan semua sisa organik akan dikitar semula di dalam kampus bagi menghasilkan bahan guna semula baja dan produk hiliran untuk ternakan serta penghasilan tenaga boleh diperbaharui.

Malah untuk semester baharu pengajian iaitu bermula September 2019, UTM memperkasa lagi kempen Kampus Tanpa Plastik Sekali-Guna kepada mahasiswa baharu yang akan mendaftar di UTM.

Negara ada satu, bumi ada satu jadi tanggungjawab kita sebagai rakyat yang perlu menjaga amanah yang diberikan ini dan hargai apa yang kita perolehi pasca kemerdekaan.

Bumi ni amanah dari Allah kepada kita sebagai khalifah, jika bukan kita yang jaga dengan penuh tanggungjawab dan membiarkan sahaja sesetengah pihak sewenang-wenang mencemarkan alam kita, kita belum cukup merdeka.

Ketahuilah bahawa semua pihak terutamanya individu mampu menyumbang dengan kapasiti masing-masing, jadi hendak atau tidak, semuanya bergantung pada mentaliti.

Merdekakanlah minda kita untuk kelestarian kepada generasi akan datang.

Sayangi Malaysiaku, Lestarikanlah Ia.

 

UTM berhasrat menjadikan kampus induknya di Johor Bahru sebagai Kampus Lestari bertaraf antarabangsa yang menjadi destinasi pilihan mahasiswa
Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar (empat dari kanan) semasa Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat UTM 2019

 

Explore More