April 28, 2024

Search
Close this search box.

Unit Pusat Khidmat Keluarga, Sosial & Komuniti, JAKIM Kunjungi UTM Tinjau KSKCareCentre

Unit Pusat Khidmat Keluarga, Sosial & Komuniti (PKKSK), JAKIM  dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, telah mengadakan kunjungan hormat ke Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru pada 17 Julai 2019.

Rombongan ini diketuai oleh Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial & Komuniti JAKIM, Dato’ Selamat Bin Paigo dan Penolong Pengarah Kanan (Unit PKKSK), Ustazah Yuhaniz Binti Mohd Yusop dengan diiringi oleh 2 orang pegawai dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Tujuan lawatan ini adalah untuk meninjau perjalanan KSKCareCentre yang telah ditubuhkan di UTM Johor Bahru.

Kedatangan rombongan ini telah disambut oleh Naib Pengerusi Akademi Tamadun Islam, Dr. Ahmad Marzuki bin Mohamad serta Ketua Fasilitator KSKCareCenter cawangan UTM, Prof Madya Dr. Siti Norlina Binti Muhamad.

Mereka telah dibawa melawat bilik KSKCareCentre UTM, di Tingkat 1 Blok T07, Akademi Tamadun Islam.

Setelah itu, pihak JAKIM, JAIJ dan para fasilitator KSKCareCentre UTM mengadakan taklimat serta perbincangan mengenai tatacara penubuhan KSKCareCentre, garis panduan, pelantikan fasilitator dan sistem pengurusannya.

Turut hadir dalam perbincangan ialah Pengerusi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Prof. Madya Dr. Siti Aishah Binti Panatik serta pensyarah-pensyarah Akademi Tamadun Islam iaitu Prof.Madya Dr. Mohd Fauzi bin Abu @ Hussin, Dr. Sulaiman Shakib bin Mohd Nor, Dr. Abdul Hafiz Bin Abdullah serta Dr. Akmaliza Binti Abdullah.

Lawatan ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dan penyerahan Modul PKKSK kepada KSKCareCentre UTM, Johor Bahru dan sesi bergambar.

Diharapkan pertemuan ini mampu membuka ruang dan peluang yang berterusan dalam menyemai semangat kerjasama dan toleransi bagi memastikan keberhasilan dalam melaksanakan KSKCareCentre dapat dicapai dan dilaksanakan dengan jayanya demi membantu golongan masyarakat secara holistik.

Latar belakang KSKCareCentre

KSKCareCentre ialah Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM yang menggabungkan tiga (3) perkhidmatan secara integrasi. Ia telah ditubuhkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) dan telah dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Hajjah Fuziah Binti Salleh pada 20 September 2018 yang lalu. Tiga (3) perkhidmatan integrasi tersebut terdiri daripada Kaunseling Syarie, Terapi Psikospritual Islam dan Ilaj Syarie.

Perkhidmatan ini boleh dijadikan sebagai One Stop Centre bagi membantu masyarakat awam. KSKCareCentre ini juga terbuka kepada orang bukan Islam di mana ianya bersifat Rahmatan Lil ‘Alamin.

KSKCareCentre ini bertujuan membantu kerajaan dalam usaha menangani masalah sosial umat Islam dengan menggunakan pendekatan agama berteraskan kepada al-Quran dan al-Hadis. KSKCareCentre berfungsi sebagai pusat rujukan yang menyediakan khidmat nasihat, kaunseling, bimbingan kekeluargaan, rawatan Islam dan terapi kepada penyakit sosial dalam masyarakat. Ia merupakan program jangka panjang dan pelengkap kepada program dakwah yang telah dilaksanakan oleh JAKIM dan JAIN.

Hasrat JAKIM untuk menjayakan program KSKCareCentre ini di semua negeri, telah disambut oleh Prof Madya Dr Siti Norlina Muhamad, pensyarah Akademi Tamadun Islam ,Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) yang merupakan salah seorang fasilitator di KSKCareCenter Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) Putrajaya. Beliau memohon keizinan dari pihak JAKIM untuk mewujudkan cawangan di UTM pada 18 Disember 2019. Permohonan tersebut dipersetujui pihak JAKIM.

Pihak JAKIM akan memberikan kerjasama yang lebih mantap sekiranya perlaksanaan dan perjalanan KSKCareCenter UTM ini berjalan lancar dan memuaskan. Oleh itu pada 17 Julai 2019 lalu, rombongan yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial Dan Komuniti JAKIM, iaitu Dato’ Selamat bin Paigo telah melakukan lawatan untuk meninjau perjalanan KSKCareCenter ini.

Dalam sesi perbincangan, pihak JAKIM telah menyatakan persetujuan untuk menjalinkan kerjasama lebih rapat melalui LoC dengan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Rasional penubuhan KSKCareCentre cawangan UTM ini berdasarkan justifikasi Akademi Tamadun Islam UTM memiliki kepakaran bidang Psikospiritual Islam, Kaunseling Syarie dan Ilaj Syar’ie.

 

 

   

Explore More