April 29, 2024

Search
Close this search box.

Bagi memenuhi aspirasi universiti untuk masyarakat, Fakulti Sains dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah bersinergi dalam menjayakan projek pemberdayaan komuniti di Flat Taman Jaya.

Dalam projek ini, UTM  menawarkan kepakaran dalam bidang kelestarian dan pendidikan dalam usaha memberdayakan komuniti setempat dan melestarikan alam sekeliling.

Projek komuniti ini telah dihoskan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Flat Taman Jaya merupakan kawasan kediaman 4 blok yang terletak di Skudai, Johor yang menempatkan lebih 100 keluarga dan individu.

Ianya bertitik tolak dari satu program bersama komuniti setempat yang telah dimulakan pada bulan Februari lepas yang melibatkan kerjasama UTM, MBIP dan Think City.

Think City merupakan rakan strategik MBIP sejak tahun 2018 dalam inisiatif peremajaan Flat Taman Jaya selain menyokong usaha pemuliharaan Sungai Skudai.

Program tersebut telah dilancarkan oleh Datuk Bandar Iskandar Puteri, YB. Dato’ Haji Adib Azhari bin Daud.

Datuk Bandar Iskandar Puteri diberikan penerangan berkenaan penggunaan baja biokompos oleh pensyarah UTM

Untuk permulaan, UTM telah diberikan peranan dalam mengendalikan pameran kesedaran kelestarian untuk komuniti dan melaksanakan aktiviti pendidikan interaktif yang bertemakan ‘Sains Hijau untuk Komuniti’.

UTM juga perlu mengenalpasti projek komuniti yang bersesuaian dengan keadaan lokaliti dan keperluan komuniti di Flat Taman Jaya.

Antara aktiviti yang dilaksanakan pada hari tersebut adalah melibatkan teknologi rawatan air, kelestarian kebun, penggunaan baja biokompos, teknologi solar dan pembelajaran sains melalui sumber alam sekitar.

Aktiviti pendidikan sains alam sekitar bersama anak-anak komuniti setempat

Program ini telah mendapat maklum balas yang positif daripada komuniti setempat mengenai keperluan dan kepentingan menambahbaik ekosistem tempat tinggal mereka dengan projek-projek yang dicadangkan.

Selain itu, aktiviti-aktiviti umum yang lain turut dijalankan seperti gotong-royong, senaman gaya hidup sihat, pemeriksaan kesihatan dan sumbangan untuk golongan asnaf.

Semasa program tersebut, para pelajar UTM juga bertugas sebagai sukarelawan dalam mengendalikan acara-acara dan menyertai aktiviti gotong royong membersihkan kawasan flat bersama komuniti setempat.

Semasa program tersebut, sesi publisiti awal Kajian Rancangan Kawasan Khas Sungai Skudai juga dilakukan.

Menurut En. Safwan Shaari yang merupakan Pegawai Perancang Bandar dan Desa MBIP, program tersebut turut menfokuskan kepada kesedaran dalam kalangan komuniti terhadap isu pencemaran sungai yang mana ianya selaras dengan Pelan Pemuliharaan Sungai Skudai yang sedang dijalankan oleh pihak MBIP sejak awal tahun 2018 lagi.

Program ini adalah inisiatif pertama UTM bersama MBIP dan ThinkCity dalam membangunkan satu projek kerjasama jangka masa panjang terutamanya dalam usaha memulihara dan meremajakan kawasan flat tersebut dan memberdayakan komuniti yang terlibat.

Sukarelawan pensyarah dan pelajar UTM bergambar bersama selepas tamat program.

Editor: Dr. Nor Ain Husein dan Dr. Mohd Bakri Bakar

Explore More