Mentari Alam EKO (M) Sdn Bhd (MAEKO) dan Sekolah Tun Fatimah telah melantik salah seorang ahli EnviBiotech iaitu Dr. Huszalina binti Hussin dari Fakulti Sains sebagai penasihat kompos sisa makanan secara berkala.
Program ini membuka satu bentuk kerjasama komuniti sekolah-syarikat berkepentingan dan juga UTM dalam melestarikan alam sekitar.
Pada masa yang sama ianya membolehkan pemindahan ilmu pengetahuan jangka panjang dengan memberikan latihan yang bersesuaian menerusi hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh pensyarah UTM
Lantikan ini merupakan susulan bagi projek yang dipanggil Pemindahan Teknologi Menerusi Modul Fertigasi Cili Dan Penambahbaikan Kandungan Baja Biokompos Sisa Makanan Berjadual Bagi Penjanaan Pendapatan Sekolah telah bermula pada 1 Februari 2019 dan akan berakhir pada 31 Julai 2019.
Hasil dari lantikan ini, universiti telah berjaya memperolehi geran penyelidikan KTO-NMG 2019 di bawah CCIN, UTM.
Peruntukan ini digunakan bagi pembelajaran berterusan menerusi pemahaman kepada penghasilan sisa makanan, kandungan dan komposisinya serta mikroorganisma yang terkandung di dalamnya.
Pengetahuan ini akan diadaptasi kepada projek fertigasi pelajar bagi peningkatan hasil tanaman fertigasi. Objektif utama projek ini ke arah penambahbaikan kandungan hasil kompos sisa makanan, penjanaan pendapatan sekolah menerusi hasil jualan hasil kompos dan tanaman yang diusahakan serta latihan jangka panjang secara praktikal.
Hasil sisa kompos telah dipek dan dipamerkan sempena Majlis Perasmian Kelas UNESCO dan Model United Nation (MUN) KPM yang diadakan di Dewan Sekolah Seri Puteri, Putrajaya pada 6 Mac 2019 yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik.
Usaha yang sekecil ini diharapkan dapat memungkinkan garapan memacu kegemilangan pendidikan tinggi berpaksikan kemanusiaan.
Selamat maju jaya diucapkan kepada pasukan komuniti ini.
#UTMforSDG
Editor: Dr. Huszalina Hussin (FS)
Penerangan hasil sisa kompos oleh pelajar Sekolah Tun Fatimah (Kelas Unesco) sedang memberikan penerangan kepada Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik.
Taklimat oleh wakil MAEKO, Puan Zilawati Mat Kila semasa sessi latihan penaiktaraf mesin kompos sisa makanan.
Sesi latihan bagi pengendalian mesin kompos sisa makanan yang ditempatkan di dewan makan, Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.