Bagi memperkayakan proses pembelajaran Sains di peringkat sekolah, satu program yang menggunakan konsep Mentor-Mentee telah mula dirintis di Johor.
Untuk tahun 2019, program tersebut dilaksanakan melalui kerjasama di antara Universiti Teknologi Malaysia bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), National STEM Movement dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
SMK Taman Nusajaya telah dipilih sebagai sekolah rintis untuk negeri Johor di mana program Mentor-Mentee Sains Siri Satu telah dilaksanakan pada 9 Mac 2019.
Program Mentor-Mentee ini dibangunkan berasaskan sistem bimbingan dan penyeliaan yang berkala dalam jangka masa panjang.
Pelajar universiti dilantik sebagai Mentor kepada Mentee pelajar sekolah. Manakala, pensyarah universiti dan guru sekolah pula bertindak sebagai Fasilitator.
Peserta program Mentor-Mentee Sains bersama pensyarah UTM, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan guru SMK Taman Nusajaya
Menurut pengurus program, PM Dr. Zaiton Abdul Majid dari Fakulti Sains, program ini juga dilaksanakan seiring dengan penekanan kepada pendidikan kelestarian di peringkat awal usia.
Untuk permulaan, lima modul Mentor-Mentee Sains telah dibangunkan berdasarkan tema kelestarian melibatkan sumber air.
“Program ini juga adalah bertepatan dengan aspirasi dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Kelestarian SDG melalui inisiatif pendidikan yang berkualiti. Malah pelaksanaan Mentor-Mentee Sains turut menawarkan akses kepada pembelajaran di luar kelas yang menggalakkan penggunaan kawasan persekitaran dan alam sekeliling sebagai bahan pembelajaran. Lebih menarik, pelajar dapat mengaitkan hasil pembelajaran dengan pengetahuan yang telah sedia dipelajari semasa kelas harian”, ujarnya lagi.
Aktiviti dalam kumpulan di antara mentor dan mentee
Di peringkat UTM pula, sinergi di antara pensyarah dan pelajar daripada Fakulti Sains dan Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan telah berjaya memastikan perjalanan program berlangsung seperti perancangan. Sepanjang aktiviti berlangsung, didapati pengetahuan dan kesedaran mentee pelajar berkenaan kepentingan dan penjagaan sumber air juga telah meningkat. Malah, aktiviti tersebut turut memberikan tambahan nilai kemahiran insaniah kepada pelajar UTM melalui penglibatan mereka sebagai mentor pembimbing.
Editor: Dr. Mohd Bakri Bakar (FS)