November 22, 2024

Search
Close this search box.

Persediaan Menghadapi Alam Pekerjaan oleh Pelajar SHARPS

JOHOR BAHRU, 10 Mac. — Seramai 116 orang pelajar dalam kalangan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperoleh ilmu persediaan menghadapi alam pekerjaan apabila menyertai program ‘How to Get Yourself Employed’ anjuran Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), dengan kerjasama UTMAlumni dan Pejabat Pengajian Pra Siswazah, UTM pada 12 dan 26 Februari serta 9 Mac lalu.

Antara objektif utama program ini adalah untuk menganjurkan beberapa siri ceramah dan sesi latihan temu duga kepada pelajar Program Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dan Program Sarjana Muda Sains Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia dengan penglibatan pihak alumni SHARPS dan industri.

Program ini juga adalah sebagai salah satu usaha yang diambil oleh pihak UTM bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan graduan UTM.

Seperti yang kita sedia maklum, pasaran buruh siswazah telah mengalami pelbagai perubahan dan transformasi dari segi permintaan terhadap tenaga kerja dan keperluan industri ekoran daripada perubahan iklim kerja dan ledakan teknologi yang semakin hebat bagi merealisasikan agenda IR 4.0.

Di mana permintaan oleh industri juga memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Oleh itu, hubungan simbiosis universiti dan industri amat signifikan kerana kedua-duanya saling memerlukan. Dalam era Model Baru Ekonomi (MBE), hubungan kedua-dua pihak ini semakin penting apabila negara memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Pihak industri memainkan peranan yang penting untuk membantu para pelajar dalam pembinaan kemahiran praktikal dan generik yang komprehensif.

Sehubungan dengan itu, siri ceramah daripada pihak industri dapat memberi pendedahan awal tentang kemahiran untuk menyertai alam kerjaya kepada para pelajar sebelum mereka menceburkan diri dalam pasaran kerja.

Melalui ceramah ini, para pelajar akan diberi pendedahan terhadap peranan mereka sebagai dalam menghadapi cabaran bagi menyertai pasaran pekerjaan.

Manakala bagi latihan temu duga, seramai 12 orang panel daripada pelbagai sektor industri telah turut serta dalam berkongsi idea dan pengalaman mereka melalui pendekatan refleksi terus sejurus tamat sesi temuduga kepada pelajar yang terlibat dalam program ini.

Salah seorang panel iaitu En. Helmy Abu Bakar dari Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB), menyatakan bahawa latihan temu duga yang diberikan kepada pelajar melalui program seumpama ini dapat meningkatkan keyakinan pelajar untuk menghadapi sesi temu duga sebenar apabila mereka telah tamat pengajian.

Manakala En. Jamil Bin Jamingin daripada Panasonic System Networks Malaysia Sdn. Bhd., pula menyatakan bahawa beliau akan sentiasa menyokong dan bersedia untuk meyertai program seperti ini pada masa hadapan.

Program melalui program ceramah dan latihan temu duga seperti ini diharapkan dapat mendedahkan para pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan asas sebelum mereka menceburkan diri dalam pasaran kerja.

Seterusnya para pelajar diharap dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari tersebut dalam proses mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian pada masa depan.

 

Explore More