November 25, 2024

Search
Close this search box.

Dua Pensyarah SHARPS UTM Terima Anugerah Berprestij dari Venus International Foundation

PM Dr. Norhani Bakri (dua dari kanan) menerima anugerah VIWA 2019 bagi kategori “Lifetime Achievement in Humanities and Social Sciences” dalam bidang Sosiologi

Disediakan oleh:

Azra Ayue Abdul Rahman, Norhani Bakri & Siti Aisyah Panatik

JOHOR BAHRU, 2 Mac — Dua pensyarah dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS) , Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Norhani Bakri dan Pengerusi SHARPS, Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Panatik telah mengharumkan nama universiti apabila mendapat anugerah berdasarkan bidang kepakaran dan sumbangan masing-masing.

Prof. Madya Dr. Norhani telah terpilih sebagai penerima anugerah Venus International Women Awards (VIWA 2019) untuk kategori “Lifetime Achievement in Humanities and Social Sciences” dalam bidang Sosiologi di Chennai, India.

Anugerah anjuran Venus International Foundation itu mengiktiraf wanita yang menunjukkan keberanian, kreativiti, kecemerlangan dan keaslian dalam bidang Sosiologi.

Tidak dapat dinafikan, Prof. Madya Dr. Norhani Bakri telah menyandang pelbagai jawatan pentadbiran seperti Ketua Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Pengurus Besar di Bahagian Pembangunan Bisnes di UTM SPACE.

Beliau juga banyak melibatkan diri dalam pelbagai projek, penyelidikan, menjadi penasihat dan ahli lembaga editorial untuk jurnal tempatan mahupun antarabangsa.

Beliau juga aktif sebagai pengucaptama, moderator mahupun panelis dalam pelbagai forum dan pernah menjadi personaliti jemputan untuk bersiaran di Astro Awani untuk membicarakan hal-hal berkaitan masyarakat.

Terdahulu, pada 5 Januari,  Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Panatik turut terpilih sebagai penerima anugerah Higher Education Leadership Awards (HELA 2019) bagi kategori “Distinguished Leader in Humanities and Social Sciences Discipline.”

Anugerah oleh Venus International Foundation itu juga adalah untuk mengiktiraf pemimpin yang memberikan impak serta mempromosikan perubahan positif kepada institusi pendidikan.

Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Panatik di sepanjang perkhidmatan beliau dengan UTM telah menyandang pelbagai jawatan pentadbiran seperti Ketua Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Ketua Kumpulan Penyelidikan “Integrity and Good Governance” (IGG), Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pengurusan dan kini sebagai Pengerusi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua penerima anugerah tersebut dan moga mereka terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan dalam memartabatkan nama UTM di persada ilmu.

 

 

Explore More