April 28, 2024

Search
Close this search box.

3,652 graduan terima ijazah dan diploma pada MK-61 UTM

JOHOR BAHRU, 10 Nov. – Seramai 3,652 orang graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-61.

Majlis tersebut telah berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru selama tiga hari bermula 10 hingga 12 November 2018 dan disempurnakan oleh Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bersama ketiga-tiga orang Pro-Canselornya.

Majlis Konvokesyen (MK) ke-61 ini juga telah menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Mohd. Ramli Kushairi dan tiga anugerah gelaran Profesor Emeritus kepada Ir. Ishak Abdul Rahman, Sr. Dr. Ayob Sharif dan Ir. Dr. S. Kannan a/l Krishna.

Dari jumlah 3,652 orang graduan, seramai 281 adalah graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) diikuti oleh 799 graduan Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda (2,527) dan Diploma (45) sepanjang tiga hari tersebut sekaligus menyaksikan peningkatan berbanding 2,551 orang pada majlis Konvokesyen ke-60 dahulu.

Graduan luar negara juga tidak ketinggalan dalam mengambil bahagian dalam MK-61 ini dimana seramai 233 orang graduan antarabangsa dari lebih 30 buah negara turut dianugerahkan dengan ijazah masing-masing.

Sekolah Kejuruteraan Elektrik mencatatkan jumlah graduan tertinggi dalam MK-61 apabila seramai 425 orang graduan dari sekolah ini berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan menerima ijazah diikuti Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga dengan jumlah graduan seramai 348 diikuti dengan Sekolah Kejuruteraan Awam seramai 325.

MK-61 turut menghargai kecemerlangan para graduan dengan pelbagai anaugerah seperti Anugerah Pelajaran DiRaja, Anugerah Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Gemilang Akademik dan Anugerah Alumni.

Antara acara penting dalam MK-61 adalah penganugerahan ijazah kepada beberapa kelompok tertentu seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), graduan Pegawai Tadbir Kerajaan negeri Johor (26 orang), graduan sulung program Sarjana Sains Komputer tajaan Syarikat Finisar (12 orang), graduan kumpulan pertama tajaan Yayasan Sultan Iskandar (16 orang) dan Tabung Endowmen UTM (32 orang) serta graduan pertama program dwi ijazah UTM dan University of Kent, United Kingdom.

Graduan Ijazah berkembar ini, Foo Weoi Ming dari Fakulti Sains akan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Industri) pada sesi keempat.

Di sebalik kegembiraan menyambut kejayaan, UTM juga tidak melupakan graduan yang telah meninggal dunia sebelum sempat mengenggam ijazah iaitu Allahyarham Ahmad Idham Mohamad Bustaman.

Allahyarham telah diwakili oleh warisnya yang menerima Diploma dalam sesi penganugerahan Ijazah Anumerta oleh Tuanku Canselor UTM.

Tan Sri Dato’ Mohd. Ramli Kushairi (kanan) menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dari Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada Majlis Konvokesyen (MK) UTM ke-61 yang berlangsung di UTM Johor Bahru pagi tadi.
Canselor UTM bersama Pro Canselor dan penerima Anugerah Kehormat dan penerima anugerah Gelaran Profesor Emeritus

Explore More