Disember 19, 2024

Pada 19 Mac lalu, Badan Kebajikan Staf UTM (BAKES) telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat di Perkampungan Orang Asli Sayong Pinang Kota Tinggi.

Program setengah hari itu telah dijayakan bersama beberapa rakan sinergi iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pusat Islam UTM dan Persatuan Pegawai Tadbir UTM (PERTISAS). Tujuan utama program ini adalah untuk membantu masyarakat Orang Asli yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di samping itu, program ini turut membawa jenama UTM ke luar kampus agar lebih dikenali dalam memberi sumbangan kepada masyarakat di luar.

Melalui program ini, sumbangan berupa barangan dapur yang bernilai RM50 telah diagihkan kepada 80 buah keluarga di kampung tersebut. Barang dapur yang diagihkan adalah beras, minyak masak, tepung, gula, teh, mihun, sos dan kicap.

Penyerahan ini telah dibuat oleh Tuan Haji Nasimin bin Ngadi selaku Timbalan Yang Dipertua BAKES dengan diringi oleh wakil rakan sinergi yang lain.

Selain itu, Pusat Islam UTM juga turut menyumbang kit dakwah kepada 15 wakil keluarga yang beragama Islam. Prof. Madya Dr Aminuddin bin Ruskan, Pengarah Pusat Islam UTM juga berbesar hati menyampaikan tazkirah 10 minit kepada keluarga Muslim di sana bersempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak.

Dalam tazkirah yang disampaikan, Prof. Madya Dr Aminuddin menekankan kepentingan untuk menghayati Ramadhan dalam membentuk jiwa yang sabar dan cekal.

Beliau turut mengingatkan agar masyarakat Muslim menghidupkan surau dengan solat berjemaah dan aktiviti keagamaan. Ini penting kepada masyarakat Muslim terutamanya generasi muda dalam memahami Islam sebagai ad-Din.

Tok Batin Majid sebagai wakil penduduk dan pihak JAKOA mengucapkan jutaan terima kasih dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dengan aktiviti dan program yang lebih dekat dengan masyarakat Orang Asli seperti gotong royong dan kenduri sekampung.

Explore More