JOHOR BAHRU, 24 Apr. — Kedatangan bulan Ramadan tidak menjadi penghalang kepada warga Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) untuk meneruskan agenda kampus lestari di bawah inisiatif KTHO Waste to Wealth Hub, sekaligus bertepatan dengan nilai teras keempat enVision UTM 2025 di bawah keutamaan strategik yang keenam iaitu menyediakan suasana kampus lestari kepada pelajar, staf dan masyarakat sekitar UTM.
Aktiviti pada sesi kali ini memberikan fokus kepada beberapa elemen, iaitu elemen teknologi hijau menerusi pemasangan sistem siraman air (water sprinkler system) dengan pemantauan kekerapan siraman menggunakan Internet of Things (IoT) di samping pemasangan alat penyongsang bagi sistem solar PV (PV solar inverter system) untuk sistem fertigasi.
Di samping itu, elemen lain seperti aktiviti pengkomposan menggunakan sisa pertanian (agricultural waste composting) dan aktiviti menceriakan laman (landscaping) turut diadakan serentak.
Aktiviti yang bermula jam 8.30 pagi ini diketuai oleh Pengetua KTHO, Dr. Norahim Ibrahim diperkasakan dengan penyertaan warga KTHO yang terdiri daripada Majlis Felow Merbauan (MAFAN), Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KTHO (JKM KTHO), pelajar-pelajar Jabatan Biosains, Fakulti Sains dan juga pelajar-pelajar prasiswazah dari KTHO sendiri, mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka sepanjang aktiviti berlangsung.
Selain itu, bagi menjayakan pemasangan alat penyongsang bagi sistem solar PV (PV solar inverter system) untuk sistem fertigasi, KTHO telah bekerjasama dengan pasukan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) Fakulti Kejuruteraan UTM yang diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Jasrul Jamani bin Jamian selaku Pengarah (Kejuruteraan Kuasa) SKE.
Sistem siraman air dengan pemantauan menggunakan IoT dan pemasangan alat penyongsang sistem solar PV dilihat mampu membuktikan konsep penggunaan teknologi hijau yang mana tujuan utamanya adalah bagi meningkatkan penjimatan dan kecekapan penggunaan tenaga, sekaligus melengkapkan kitaran kelestarian yang boleh diaplikasikan dalam sektor pertanian.
Elemen kecekapan tenaga ini akan melengkapkan lagi elemen kelestarian yang sedia ada, iaitu penggunaan sisa-sisa dapur, makanan dan domestik sebagai baja organik dalam aktiviti pertanian dalam usaha untuk merealisasikan kewujudan KTHO sebagai salah satu makmal alami kelestarian (sustainability living lab) di UTM.
Pada masa sama, aktiviti pengkomposan menggunakan sisa pertanian (agricultural waste composting) dan aktiviti menceriakan laman (landscaping) memeriahkan lagi sesi pada hari tersebut. Sisa pertanian seperti hampas soya, sekam padi, hampas kelapa dan kulit bawang digunakan sebagai ramuan untuk penghasilan baja kompos.
Sementara itu, aktiviti menceriakan laman (landscaping) diisi dengan penanaman pokok ati-ati di sekitar kawasan pejabat pentadbiran KTHO. Antara ciri pokok ati-ati ialah ia sesuai ditanam di kawasan yang bertanah gembur dan lembap tetapi tidak menakung air dan boleh tumbuh sehingga setinggi setengah ke dua meter. Pokok ini tahan panas dan akan menghasilkan daun-daun yang berwarna terang dan cantik jika mendapat cahaya matahari yang mencukupi.
Pengisian aktiviti berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Keterujaan para peserta dapat dilihat apabila masing-masing bersemangat untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang, ditambah pula program berjalan dalam keadaan cuaca yang baik dan redup.
Semoga inisiatif kelestarian dari KTHO ini memberikan manfaat bukan sahaja kepada warga KTHO dan UTM, malah segenap lapisan masyarakat di sekitarnya.