November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 10 April — Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengatur langkah untuk menyahut inisiatif Kampus Lestari, bertepatan dengan nilai teras keempat enVision UTM 2025 di bawah keutamaan strategik yang keenam iaitu menyediakan suasana kampus lestari kepada pelajar, staf dan masyarakat sekitar UTM.

Inisiatif tersebut diterjemahkan dengan penganjuran siri seminar di bawah inisiatif projek ‘KTHO Waste to Wealth Hub’ dengan pendedahan teori dan praktikal mengenai teknik pengkomposan secara kultur hugel. Bagi tujuan tersebut, Dr. Huszalina Hussin, pensyarah kanan Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM telah dijemput bagi memberikan perkongsian ilmu mengenai teknik kompos tersebut kepada warga KTHO.

Aktiviti yang bermula jam 8.30 pagi ini diketuai oleh Pengetua KTHO, Dr. Norahim Ibrahim diperkasakan dengan penyertaan warga KTHO yang terdiri daripada Majlis Felow Merbauan (MAFAN), Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KTHO (JKM KTHO), pelajar-pelajar Jabatan Biosains, Fakulti Sains dan juga pelajar-pelajar prasiswazah dari KTHO sendiri, mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka sepanjang aktiviti berlangsung.

Dr. Huszalina Hussin, pensyarah kanan Jabatan Biosains Fakulti Sains UTM sebagai penceramah jemputan untuk sesi perkongsian mengenai teknik kompos kultur hugel.

Menurut Dr. Huszalina, pengkomposan dengan menggunakan teknik kultur hugel bukanlah sesuatu yang baru kerana ia digunakan dengan meluas di Eropah terutama di Jerman.

Antara kelebihan teknik ini ialah ia menguatkan struktur tanaman, di samping mengekalkan kelembapan tanah apabila bahan-bahan yang digunakan pada setiap lapisan berfungsi untuk menyerap air, sekaligus menjadikan tanah lebih subur.

Secara konsepnya, teknik kultur hugel menggunakan bahan-bahan perang dan bahan-bahan hijau yang membentuk sembilan lapisan. Tiga lapisan pertama terdiri daripada bahan-bahan perang seperti lapisan blok kayu, ranting kayu dan daun kering. Tiga lapisan yang seterusnya terdiri daripada bahan-bahan hijau seperti lapisan daun hijau, sisa makanan dan bakteria pengkomposan. Tiga lapisan akhir pula ditutup dengan lapisan daun kering, kadbod dan kombinasi tanah organik, kompos serta booster.

Tambah Dr. Huszalina lagi, teknik kultur hugel ini akan lebih berkesan sekiranya strategi penggiliran jenis tanaman dilaksanakan memandangkan setiap tanaman akan menyerap nutrien yang berbeza.

Sesi seminar yang berlangsung turut dihadiri Pengetua KTHO, Dr. Norahim Ibrahim.
Konsep asas teknik kompos kultur hugel yang mengandungi 9 lapisan bahan.
Tiga lapisan pertama mengandungi bahan-bahan perang seperti lapisan blok kayu, ranting kayu dan daun kering.
Tiga lapisan tengah mengandungi bahan-bahan hijau seperti lapisan daun hijau, sisa makanan dan bakteria pengkomposan.
Tiga lapisan akhir ditutup dengan bahan-bahan perang seperti lapisan daun kering, kadbod dan kombinasi tanah organik, kompos serta booster.
Sesi praktikal ringkas pengkomposan menggunakan teknik kultur hugel dengan menggunakan sisa-sisa makanan yang telah dikumpulkan.

Selepas selesai sahaja sesi seminar, para peserta kembali ke tapak semaian bagi diperlihatkan demonstrasi pengkomposan menggunakan teknik kultur hugel. Sisa-sisa makanan domestik yang diperoleh di Pasar Taman Universiti seperti lebihan sayur-sayuran dan buah-buahan menjadi antara ramuan utama bahan hijau untuk lapisan kelima.

Pengisian aktiviti kali ini berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Semua peserta sangat berpuas hati dengan pendedahan secara teori dan praktikal mengenai pengkomposan menggunakan teknik kultur hugel.

Semoga inisiatif kelestarian dari KTHO ini memberikan manfaat bukan sahaja kepada warga KTHO dan UTM, malah segenap lapisan masyarakat di sekitarnya.

Explore More