April 29, 2024

Search
Close this search box.

Satu sesi perbincangan penerusan agenda kecemerlangan Fakulti melibatkan pengurusan Fakulti Sains bersama Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail telah diadakan secara dalam talian.

Program ini merupakan kesinambungan siri pertemuan Naib Canselor bersama warga Universiti semenjak pelantikan beliau yang bermula pada 1 Januari 2021.

Melalui program tersebut, Dekan Fakulti Sains, Prof. ChM. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff telah berkongsi latar belakang dan perkembangan Fakulti Sains sehingga kepada fasa terkini Sinergi 4.0.

Dekan juga turut membentangkan pencapaian dan kejayaan Fakulti yang merangkumi perihal bakat staf dan pelajar, akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan berdasarkan strategi Pelan Global Universiti.

Seterusnya, Naib Canselor diberikan penerangan berkenaan inisiatif penyesuaian Fakulti yang telah dilaksanakan ketika mendepani cabaran pandemik COVID-19 bagi memastikan sasaran pencapaian tahunan Fakulti dapat dipenuhi.

Selain itu, Dekan Fakulti Sains juga berkongsi perancangan Fakulti bagi tahun semasa yang melibatkan agenda seperti pembangunan bakat, kesejahteraan pekerjaan, fasiliti persekitaran, kemudahan pengajaran dan penyelidikan, kebajikan pelajar serta keunggulan reputasi.

Melalui maklum balas yang diberikan, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail mengharapkan kecemerlangan yang telah dicapai oleh Fakulti Sains dapat diteruskan dan seterusnya merencana lonjakan prestasi yang berterusan.

Beliau juga memberikan penekanan terhadap keutamaan perancangan dan pencapaian Fakulti Sains yang berkualiti dan dapat memberikan impak penghasilan yang tinggi berdasarkan kekuatan dan tujahan Fakulti.

Selain itu, beliau juga menyarankan untuk bersama-sama memperkasakan perancangan dan kemajuan bakat staf dengan mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan mereka serta memberikan bimbingan yang bersesuaian.

Kepimpinan Fakulti juga dimohon untuk sentiasa berinteraksi dengan staf dan mendapatkan maklumbalas untuk kemajuan bersama. Malah, kepentingan kepada penerapan dan pembudayaan nilai murni DNA UTM juga perlu diberikan perhatian.    

Turut penting, Fakulti juga akan diberikan sokongan dalam inisiatif yang mengutamakan kecemerlangan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar. Menurut beliau, matlamat ini dapat dicapai dengan meningkatkan kualiti penyampaian pembelajaran, bersinergi dengan rakan kongsi pembangunan pelajar Universiti serta memperkayakan pengalaman pelajar di kampus.

Di peringkat Fakulti, antara agenda keutamaan yang turut disarankan adalah dengan meningkatkan lagi sinergi antara Jabatan, memperkasakan kerjasama merentas bidang dan meningkatkan lagi keternampakan kepakaran Fakulti sehingga menjadi rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada akhirnya, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkongsi kepentingan pegangan nilai yang berasaskan ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’ untuk mencapai kecemerlangan bersama. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Fakulti Sains kerana terus komited dalam menjayakan semua perancangan Universiti. Bagi Fakulti Sains, kunjungan pihak Naib Canselor UTM amat dihargai dalam meneruskan kebersamaan seluruh warga Fakulti bagi memenuhi visi dan misi Universiti.

Penulis: Dr. Mohd Bakri Bakar dan Hajah Nor Azlinda Abu Bakar

Explore More