April 28, 2024

Search
Close this search box.

Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa 2020 (GEMA 2020) secara dalam talian pada 18 Mac 2021. Majlis diadakan bertujuan untuk menghargai setiap pencapaian mahasiswa UTM pada sesi 2019/2020, daripada pelbagai kategori aktiviti pembangunan pelajar merangkumi aspek kepimpinan, kebudayaan, kesukarelawanan, dan inovasi.

Secara keseluruhannya, terdapat 31 anugerah yang dipertandingkan, termasuk anugerah utama iaitu Anugerah Naib Canselor. Pada edisi GEMA 2020 kali ini, Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) telah berjaya mengungguli dua anugerah iaitu Anugerah Pembangunan Pelajar Kolej Kediaman dan Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan menerusi Dr. Norahim bin Ibrahim, selaku Pengetua KTHO dan saudari Naeimatul Hidayah binti Abdul Ghani, selaku Pengarah Program Kembara Sabah 2020 (Kbah ’20).

Dr. Norahim Ibrahim, Pengetua KTHO menggondol tempat pertama bagi Anugerah Pembangunan Pelajar Kolej Kediaman.

Anugerah Pembangunan Pelajar Kolej Kediaman di berikan kepada kolej kediaman yang terdiri daripada pengetua, felow dan pelajar yang merancang, mengurus dan melaksanakan aktiviti dan dokumentasi yang teratur dalam memastikan pembangunan pelajar. Menerusi sokongan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam perancangan dan pengurusan aktiviti antara Pengetua, Majlis Felow Merbauan (MAFAN), Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) KTHO dan kelab-kelab di bawah naungan JKM KTHO, maka ia dapat dinatijahkan menerusi anugerah ini.

Saudari Naeimatul Hidayah Abdul Ghani mengungguli kategori Pemimpin Kebudayaan menerusi pelaksanaan aktiviti berimpak tinggi Kbah ’20.

Sementara itu, Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan diberikan kepada pemimpin mahasiswa (individu) yang menunjukkan pencapaian terbaik dan menganjurkan program-program kebudayaan yang berimpak tinggi. Dengan sokongan padu dan komitmen daripada warga KTHO khususnya JKM KTHO dan jawatankuasa pelaksana Kbah ’20, maka selayaknya saudari Naeimatul Hidayah binti Abdul Ghani diangkat untuk merangkul anugerah ini, hasil daripada impak kebudayaan yang ditonjolkan menerusi program tersebut.

Warga KTHO merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Dr. Norahim bin Ibrahim dan saudari Naeimatul Hidayah binti Abdul Ghani atas pencapaian tersebut. Semoga KTHO akan terus memperkasa aktiviti pembangunan pelajar sekaligus tampil lebih cemerlang dengan merangkul lebih banyak anugerah dalam edisi GEMA 2021.

Explore More