April 30, 2024

Search
Close this search box.

Pensyarah Fakulti Sains UTM hasilkan video “Mencari Ketenangan” bawa mesej kerohanian dan ketuhanan

Pada Ogos tahun 2020 yang lepas, beberapa orang pensyarah Fakulti Sains telah menghasilkan video YouTube berbentuk nasihat bersempena program MyRoadmap@FS bagi pengisian Pembangunan Pelajar Fakulti Sains (Modul SQ).

Sketsa kehidupan ini telah dilakonkan oleh Dr Mohd Helmi Sani (Pensyarah Kanan Jabatan Biosains), Dr Faizuan Abdullah (Pensyarah Jabatan Kimia) dan dirakamkan oleh Dr Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin (Jabatan Biosains) dibantu oleh Aimi Alina Hussin (Pelajar Sarjana Jabatan Biosains).

Program SQ di Jabatan Biosains ini dibimbing oleh Dr Abdul Fatah A. Samad dari Jabatan Biosains (selaku penceramah utama) bagi membentuk sahsiah, keperibadian dan kerohanian yang baik di kalangan pelajar.

Video yang berdurasi sekitar 4 minit ini memaparkan situasi manusia yang tercari-cari ketenangan jiwa yang kian terganggu kerana hal-hal dunia.

Tidak dinafikan, pelbagai faktor seperti tekanan dalam pekerjaan, masalah keluarga, kekurangan sumber pendapatan merupakan punca kepada kekalutan jiwa. Selain itu, sebagai manusia yang berlakon di atas pentas dunia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Dosa inilah antara yang menjadi punca kepada keresahan jiwa seperti mana yang telah disebut dalam mafhum hadis Rasulullah s.a.w ”Dosa adalah apa yang menimbulkan keresahan di jiwamu dan kamu benci ia dilihat manusia.” (Riwayat Muslim).

Senario yang berlaku ini merupakan sebahagian daripada coretan warna-warni kehidupan yang sememangnya penuh dengan mehnah dan tribulasi. Namun begitu, al-Quran memberikan formulasi untuk mencapai ketenangan jiwa seperti yang telah dinukilkan dalam surah Ar-Ra’d 13: 27-28 yang bermaksud “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.’ Secara umum, ayat ini mencadangakan agar kita kembali mengingati Allah kerana Allah merupakan sumber ketenangan.

Sekiranya keresahan berpanjangan dan boleh membawa kepada kemurungan yang serius, mintalah nasihat atau motivasi kepada orang yang anda percaya, sebagaimana hadis Nabi s.a.w yang menceritakan tentang enam perkara yang menjadi hak seorang musim terhadap muslim yang lain.

Antaranya adalah apabila seseorang itu minta dinasihati, maka hendaklah nasihat itu disampaikan kepadanya (dinukilkan daripada hadis riwayat Muslim).

Pautan video: https://www.youtube.com/watch?v=jIVPRei5040

Artikel ditulis oleh: Abdul Fatah A. Samad dan Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin

Explore More