April 28, 2024

Search
Close this search box.

Enrolmen Siswazah di Institusi Pengajian Tinggi – Sejauh Mana Pentingnya Peranan Aktiviti Pemasaran

Kuala Lumpur – Jumlah kemasukan siswazah yang mendaftar di institusi pengajian tinggi tidak kira samada di peringkat diploma, sarjana, sarjana muda mahupun ijazah kedoktoran sedikit sebanyak dipengaruhi oleh aktiviti pemasaran yang dijalankan. Keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi khususnya bagi individu yang telah bekerja bukanlah satu perkara yang mudah. Pelbagai faktor perlu dipertimbangkan termasuklah jenis-jenis program yang ditawarkan yang bersesuaian dengan bidang tugas sediada, fleksibiliti waktu pembelajaran, yuran pengajian, mod pengajian serta faedah-faedah sampingan yang bakal dinikmati oleh bakal siswazah. Maklumat-maklumat tersebut perlu disampaikan dengan jelas demi meyakinkan individu yang mempunyai keinginan untuk menyambung pangajian, dalam masa yang sama menerima kekangan kerja yang tinggi.

Individu yang bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat berkenaan program-program akademik yang ditawarkan perlulah mempunyai pengetahuan secara menyeluruh tidak mengira samada individu tersebut merupakan staf akademik ataupun staf pentadbiran.

Bagi memastikan tanggungjawab memasarkan program-program akademik dapat dilakukan dengan lancar, UTM Razak School of Engineering and Advanced Technology melalui unit Pemasaran telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu sesi perkongsian berkenaan program-program akademik yang ditawarkan oleh fakulti pada 6 Mac 2018 yang lalu. Seramai empat orang penceramah terdiri daripada penyelaras-penyelaras program akademik UTM Razak School termasuk penyelaras program Eksekutif Diploma, penyelaras program Sarjana Rekabentuk Industri, pengurus Akademik Pasca Siswazah serta pengurus APEL telah berkongsikan maklumat yang jelas dan lengkap berkenaan program-program akademik kepada lebih kurang 30 orang staf pentadbiran UTM Razak School.

Usaha ini dilakukan bagi menyahut saranan YBhg Dekan UTM Razak School, Prof. Ir. Dr. Sha’ri Bin Mohd Yusof agar semua staf tidak kira staf akademik mahupun staf pentadbiran agar dapat ‘turun padang’ dalam memasarkan program-program akademik dengan melibatkan diri secara penuh dalam apa jua aktiviti pemasaran yang dijalankan. Menurut beliau lagi, semua staf di UTM Razak School merupakan duta kepada pihak fakulti yang boleh menyampaikan maklumat berkenaan program-program akademik dengan yakin dan jelas kepada individu-individu yang berminat untuk menyambung pengajian di UTM Razak School khususnya. Usaha ini sekaligus dilihat dapat menjadi pemangkin kepada peningkatkan jumlah enrolmen siswazah yang mendaftar di UTM Razak School kelak.

Oleh: Dr Tuti Haryati Jasimin

Explore More