Kuala Lumpur – Jumlah kemasukan siswazah yang mendaftar di institusi pengajian tinggi tidak kira samada di peringkat diploma, sarjana, sarjana muda mahupun ijazah kedoktoran sedikit sebanyak dipengaruhi oleh aktiviti pemasaran yang dijalankan. Keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi khususnya bagi individu yang telah bekerja bukanlah satu perkara yang mudah. Pelbagai faktor perlu dipertimbangkan termasuklah jenis-jenis program yang ditawarkan yang bersesuaian dengan bidang tugas sediada, fleksibiliti waktu pembelajaran, yuran pengajian, mod pengajian serta faedah-faedah sampingan yang bakal dinikmati oleh bakal siswazah. Maklumat-maklumat tersebut perlu disampaikan dengan jelas demi meyakinkan individu yang mempunyai keinginan untuk menyambung pangajian, dalam masa yang sama menerima kekangan kerja yang tinggi.
Individu yang bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat berkenaan program-program akademik yang ditawarkan perlulah mempunyai pengetahuan secara menyeluruh tidak mengira samada individu tersebut merupakan staf akademik ataupun staf pentadbiran.
Usaha ini dilakukan bagi menyahut saranan YBhg Dekan UTM Razak School, Prof. Ir. Dr. Sha’ri Bin Mohd Yusof agar semua staf tidak kira staf akademik mahupun staf pentadbiran agar dapat ‘turun padang’ dalam memasarkan program-program akademik dengan melibatkan diri secara penuh dalam apa jua aktiviti pemasaran yang dijalankan. Menurut beliau lagi, semua staf di UTM Razak School merupakan duta kepada pihak fakulti yang boleh menyampaikan maklumat berkenaan program-program akademik dengan yakin dan jelas kepada individu-individu yang berminat untuk menyambung pengajian di UTM Razak School khususnya. Usaha ini sekaligus dilihat dapat menjadi pemangkin kepada peningkatkan jumlah enrolmen siswazah yang mendaftar di UTM Razak School kelak.
Oleh: Dr Tuti Haryati Jasimin