April 29, 2024

Search
Close this search box.

UTM-Alcon tandatangan MoU bernilai RM 1.8 juta

JOHOR BAHRU, 5 Januari 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Alcon Malaysia (Alcon) syarikat pembuat produk penjagaan mata menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM 1.8 bagi membangunkan inovasi kanta lekap menggunakan proses pempolimeran alternatif.

Prof Fauzi (lima kanan) bertukar dokumen dengan Dr. James Jeyadeva.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Pengurus Besar CIBA Vision Johor Sdn. Bhd, anak syarikat milik Alcon, Dr. James Jeyadeva Govindasamy.

Ketua Penyelidik, Dr. Nadia Adrus berkata, bersandarkan kepada 10 tahun pengalaman dalam pemprosesan polimer, enam orang penyelidik dan ahli akademik dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT) telah berjaya mengembangkan usaha penyelidikan mereka melalui inisiatif kerjasama penyelidikan dengan Alcon.

“Hasil dari kerjasama penyelidikan ini, pihak UTM dan Alcon telah bersetuju untuk menjalin kerjasama yang berimpak tinggi selama tiga tahun melalui memorandum persefahaman ini.

“Dengan termetrinya MoU ini, kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam empat inisiatif utama iaitu perundingan tentang ciri-ciri formula kanta lekap serta kaedah alternatif bagi proses pempolimeran produk itu,” katanya.

UTM dan Alcon bersetuju melaksanakan pembangunan operasi pemindahan kanta lekap secara automatik di samping pemberian akses kepada kemudahan dan peralatan makmal secara dua hala.

“Program pembangunan modal insan yang merangkumi latihan industri bagi mahasiswa pra-siswazah dan juga pasca-siswazah juga akan dilaksanakan di samping Program Kerjaya Graduan UTM,” katanya.

Dr. Nadia berkata MoU ini secara keseluruhannya akan menjadi penanda aras dalam hubungan universiti-industri yang mementingkan kualiti kerja berimpak tinggi dan memenuhi piawaian antaranbangsa dalam skop penghasilan kanta lekap dengan teknologi hijau.

Kerjasama strategik ini akan direalisasikan secara rasminya pada bulan April 2018. Turut hadir adalah Dekan FKT, Prof. Dr. Mohd. Ghazali Mohd Nawawi dan juga Ketua Sumber Manusia CIBA Vision Sdn. Bhd, Tan Bee Hong.

Explore More