Oleh : Dr. Nor Ain Husein
Di manakah kekurangannya? Program-program untuk meningkat minat pelajar sekolah terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukanlah perkara baru, malah banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak. Namun begitu, sasaran negara untuk mencapai 60 peratus graduan dalam bidang STEM sejak 1970 masih belum tercapai. Ya, selama 47 tahun! Di manakah kekurangannya?
Atas kesedaran bahawa usaha yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menambah modal insan dalam bidang STEM untuk negara, malah selari dengan visi Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu “To be a world renowned faculty in the advancement of science and mathematics”, seramai 121 orang mahasiswa UTM dari Fakulti Sains serta Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan menjelajah ke tujuh buah sekolah dalam daerah Johor Bahru Tengah untuk mengadakan program Jelajah Sains Siri 1 (JS 1.0) dari 8 hingga 11 Mei 2017.
JS 1.0 adalah satu program pembelajaran servis (service learning) yang melibatkan pemindahan pengetahuan teknikal dan kemahiran Sains dan Matematik daripada mahasiswa UTM kepada pelajar tingkatan satu yang terpilih iaitu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti 2, SMK Impian Emas, SMK Damai Jaya, SMK Selesa Jaya 2, SMK Skudai, SMK Taman Tun Aminah dan SMK Dato Abdul Rahman Yassin.
Program yang disertai oleh lebih daripada 600 orang pelajar itu secara keseluruhannya juga melibatkan guru-guru mata pelajaran Sains dan Matematik dan 14 orang pensyarah penyelia dari UTM.
Jelajah Sains 1.0, Interaktif dan Berimpak
JS 1.0 adalah sebuah program anjuran bersama Pusat Kokurikulum dan Pembelajaran Servis UTM dan Fakulti Sains UTM, dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Centre of Engineering Education (CEE) UTM dan Yayasan Penyayang Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Whip MPJBT, Encik Er Siau Kheng pada 9 Mei 2017 di SMK Impian Emas.
Tujuan utama program ini ialah utuk mempertingkatkan minat pelajar tingkatan satu terlibat terhadap Sains dan Matematik melalui pengalaman pembelajaran Sains secara kreatif, seterusnya menggalakkan mereka mengamalkan eksplorasi, penghargaan dan aplikasi Sains selepas program, di sekolah dan di luar sekolah.
Di samping itu, program ini menjadi platform para fasilitator, iaitu mahasiswa UTM menentukan, mencabar dan seterusnya mempertingkatkan bukan sahaja pengetahuan teknikal Sains, tetapi juga kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
JS 1.0 disusun dalam bentuk aktiviti-aktiviti interaktif yang mendapat maklumbalas positif daripada banyak pihak, juga lengkap dengan penilaian keberkesanan program serta persepsi peserta terhadap Sains dan Matematik sebagai nilai tambah bagi program ini.
Program ini akan diteruskan secara berkala dan dijangka dapat membantu kajian bagi mempertingkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran Sains di sekolah. Antara nilai tambah lain, JS 1.0 juga mempunyai perkhidmatan berterusan selepas program selesai, dengan adanya penyerapan masuk peserta ke program-program lain pada masa akan datang (contoh, Iskandar Learning Festival pada Julai nanti), platform atas talian, penggunaan modul yang ditinggalkan kepada setiap peserta dan pembinaan Sudut Sains di sekolah-sekolah terlibat. Oleh itu, Jelajah Sains tidak berhenti hanya selepas program selesai pada Mei 2017.
Perkara yang paling digemari oleh kebanyakan peserta ialah membuat eksperimen sains sendiri. Dan apabila ditanya, “Apa yang diperlukan agar Jelajah Sains jadi lebih baik?”, ramai yang menjawab, “Lebih eksperimen!” malah ada yang berharap program ini juga dibuka untuk rakan-rakan mereka yang tidak dapat turut serta.
Bukan sahaja para peserta dari sekolah, mahasiswa UTM yang menyertai program ini juga memberi maklumbalas, teruja dan terinspirasi untuk lebih menghayati sains apabila menyedari pemerhatian dan eksperimen sains bukan hanya boleh dilakukan di dalam makmal dengan peralatan yang terhad dan mahal, tetapi juga boleh dilakukan sendiri dengan bahan-bahan yang murah, malah ada barang yang terpakai.
Jelajah Sains Dirangka Selepas Maklumbalas Positif A Day of Fun With Physics
“Baru saya tahu, rupanya setiap hari pun saya gunakan Sains. Dan Sains tidak susah pun, malah menarik. Tapi dah terlambat bagi saya, saya tak boleh pilih aliran Sains nanti sebab prestasi Sains saya tak berapa bagus,” respon salah seorang pelajar Tingkatan 3 yang menjadi peserta A Day of Fun with Physics (ADFP) pada Oktober lepas, menjadi antara sebab Jelajah Sains dirangka, seterusnya mensasarkan pelajar tingkatan 1.
ADFP ialah satu program anjuran Jabatan Fizik, Fakulti Sains yang menfokus kepada matapelajaran Fizik yang melibatkan 944 orang pelajar tingkatan 3 yang selesai peperiksaan PT3 dari 7 buah sekolah.
Program yang bertuuan memperkenalkan para pelajar terhadap matapelajaran Fizik dan peluang pengajian serta kerjaya bidang tersebut dikendalikan oleh 80 orang mahasiswa Fakulti Sains UTM, program Fizik dan Fizik Industri yang mengikuti kursus Pengenalan Kepada Fizik.
Jelajah Sains Akan Terus Menjelajah
Selesai JS 1.0, fasilitator memberikan refleksi mereka untuk tujuan penilaian. Lim Chun Hou,mahasiswa program Sarjana Muda Sains Fizik Industri menulis, “Aktiviti yang paling saya gemari ialah ‘dam ular’ kerana ada seorang pelajar lelaki berbangsa India yang sangat aktif dan teruja bermain sambil belajar konsep Sains. Semasa demonstrasi sains pula, saya berasa sangat penat kerana perlu menerangkan kepada setiap kumpulan pelajar dan kemuncaknya, saya terpaksa meniup belon-belon untuk tujuan eksperimen juga.
Walaupun berasa amat penat, saya berpuas hati dengan hasil kerja saya dan rakan sepasukan malah berasa terkejut serta bangga kerana ada pelajar yang berharap kami datang lagi pada tahun hadapan! Maka, saya cadangkan Jelajah Sains diteruskan dan boleh dilakukan oleh junior-junior saya.”
Seperti ADFP, JS 1.0 mendapat maklum balas positif dari pihak pelajar dan guru-guru, dan akan diteruskan dengan pelbagai penambahbaikan pada masa akan datang untuk menjayakan misi membangunkan STEM di negara kita.
Semoga dengan usaha yang disokong oleh banyak pihak ini dapat diperluas dan dirasai bersama hasilnya, demi sebuah negara yang lebih maju dalam bidang sains dan teknologi, dengan warganegara yang seimbang dan holistik.