April 29, 2024

Search
Close this search box.

Produk R&D UTM tembusi pasaran antarabangsa

JOHOR BAHRU, 19 Jun 2017 – Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya meluaskan pasaran ke Timur Tengah dalam memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.

Suhaimi dan Be Cheer sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan dan pengoperasian peralatan.

Pengarahnya, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, pihaknya berjaya membekalkan produk dan pemindahan teknologi itu kepada Water Research Centre, Kuwait Institute for Scientific Research (KISR) menerusi bidaan terbuka baru-baru ini.

Menurutnya, produk yang diberi nama “Customized Hollow Fiber Membrane Spinning System” itu direka bentuk dan dibangunkan sepenuhnya oleh kumpulan penyelidik AMTEC yang akan digunakan dalam kajian teknologi pemisahan dan rawatan air.

“Produk ini merupakan sistem yang direka khas untuk digunakan bagi penghasilan membran gentian geronggang dalam pelbagai jenis dan saiz bergantung kepada pengaplikasiannya.

“Seramai dua orang penyelidik dari AMTEC, Mohd Suhaimi Abdullah dan Ng Be Cheer berada di Kuwait mulai 11 hingga 15 Jun lalu untuk memberikan latihan dan kursus kepada penyelidik di KISR,” katanya.

Beliau berkata, menerusi latihan itu penyelidik di KISR dapat menghasilkan sendiri membran gentian geronggang dan meningkatkan kemahiran, kepakaran serta idea baru dalam teknologi berasaskan pemisahan bermembran.

Katanya, sebelum itu produk membran AMTEC UTM telah dipasarkan ke luar negara iaitu di Universiti King Fahd, Arab Saudi, Universiti Prince of Songkla, Thailand dan COMSATS Institute of Information Technology Pakistan selain pasaran di Malaysia.

“AMTEC dijangka akan terus melebarkan hasil penjanaan pendapatan melalui pembangunan dan pembekalan sistem berasaskan teknologi membran menerusi  kerjasama penyelidikan pada masa hadapan.

“Hasil perbincangan lanjut KISR amat berminat untuk menggunakan teknologi membaran yang dperkenalkan oleh AMTEC bagi membangunkan sistem rawatan air yang berkonsepkan sifar bahan buangan cecair,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM.

Ahmad Fauzi berkata, KISR ingin memajukan penyelidikan berasaskan teknologi membran bagi perawatan air laut dan rawatan air sisa pada masa akan datang bagi kelestarian penggunaan air di Kuwait.

Beliau berkata, kejayaan menembusi pasaran antarabangsa membuktikan Universiti Awam (UA) tidak ketandusan penyelidikan yang mampu menghasilkan produk yang berkualiti.

Explore More