November 24, 2024

Search
Close this search box.

Pasukan ROBOCON UTM terima Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi

JOHOR BAHRU,  25 Mac 2016 – Pasukan ROBOCON Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memenangi hadiah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2016.

Dato’ Seri Idris bersamalam dengan hadirin.

Kumpulan yang dianggotai oleh enam  mahasiswa itu telah memenangi tempat pertama di pertandingan Asia Pacific Broadcasting Union (ABU) Robocon 2016 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi diberikan kepada semua mahasiswa Institut Pengajian Tinggi yang telah mendapat pengiktirafan dan memenangi tempat pertama, kedua atau ketiga di peringkat antarabangsa.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir kepada Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUTM), Noor Hanis Mohd Noor di Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2016 yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar (ISI), UTM, malam tadi.

Penyampaian anugerah itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Dato’ Amir Mohd. Nor dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Malam yang bermakna bagi tokoh mahasiswa dari Universiti Awam (UA) dan swasta itu menyaksikan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Farah Nabilah Abdul rahman dinobatkan sebagai penerima Anugerah Menteri Pengajian Tinggi “Tokoh Siswa Kebangsaan”.

Dato’ Wahid menerangkan kepada Dato’ Seri Idris produk yang dipamerkan sempena Anugerah Tokoh Siswa.
Noor Hanis (kiri) menerima anugerah bagi pihak Pasukan ROBOCON UTM.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan sebuah motosikal Modenas.

Anugerah Tokoh Siswa merupakan satu anugerah berprestij yang diadakan bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian mahasiswa di samping mendorong golongan berkenaan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembangunan diri yang dapat menyumbang kepada modal insan yang holistik dan kompeten agar selari dengan kehendak ekonomi serta pembangunan masa kini.

Sebanyak 16 anugerah mengikut kategori telah dipertandingkan dan pemenang bagi kategori individu menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan biasiswa melanjutkan pengajian di peringkar sarjana.

Pemilihan pemenang pada anugerah ini mengambil kira penglibatan mahasiswa dalam program, pencapaian akademik dan sahsiah diri/kumpulan calon tersebut.

Antara anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar, Pemimpin Kolej Kediaman, Pemimpin Fakulti/Persatuan/Kelab, Pemimpin Badan Beruniform, Pemimpin Program Keusahawanan, Pemimpin Program Kebudayaan, Pemimpin Program Sains, Teknologi dan Inovasi, Pemimpin Program Sukan, Pemimpin Program Pengucapan Awam, Pemimpin Program Wacana Intelek, Pemimpin Pelajar Antarabangsa, Pemimpin Sukarelawan (Kesejahteraan Komuniti), Pemimpin Sukarelawan (Alam Sekitar), Pemimpin Sukarelawan (Terbuka), Pasukan Sukarelawan Terbaik dan Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

 

 

 

 

 

 

Explore More