April 29, 2024

Search
Close this search box.

Pejabat NC UTM Edar Kupon Makanan Percuma kepada Pelajar

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi meneruskan inisiatif UTMPrihatin dengan melaksanakan aktiviti bagi membantu meringankan beban pelajarnya.

Terbaharu, sebanyak 120 keping kupon makanan percuma telah diedarkan oleh Pejabat Naib Canselor (PNC) bagi meringankan bebanan pelajar yang kurang berkemampuan.

Pengedaran kupon di bawah program ‘Feel to fill Programme – Free Food for Students’ ini dilakukan di medan selera Arked Meranti, kampus Johor Bahru baru-baru ini semasa mahasiswa ingin bersarapan pagi.

Penyelaras program, Siti Norhana Miswan berkata program yang dimulakan pada tahun 2018 ini dilakukan dengan kekerapan sebulan sekali bagi meringankan beban mahasiswa yang kurang berkemampuan.

“Walaubagaimanapun di atas saranan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, bantuan ini akan dilanjutkan kepada dua kali sebulan pada tahun 2020.

“Program ini telah ditampung oleh tabungan khas yang diwujudkan di PNC dan sumber kewangan tabung ini telah diperolehi dari sumbangan ikhlas kakitangan pejabat itu dan juga pengunjung yang berkunjung ke pejabat itu,” katanya.

Kakitangan yang tidak berkhidmat di PNC juga digalakkan untuk menyumbang bagi memastikan kelestarian berterusan sumber kewangan tabung ini.

Mengulas mengenai latar belakang program ini, Siti Norhana berkata PNC sebelum ini memberikan bantuan dalam bentuk makanan berbungkus tetapi menukar konsep kepada kupon di atas dasar menyokong dasar semasa UTM.

Kupon yang diterima adalah bernilai RM5.00 sekali guna ini boleh digunakan sama ada untuk sarapan pagi, makan tengahari atau makan malam.

Mahasiswa yang membeli makanan juga boleh memilih untuk makan atau membungkus makanan yang diberikan dengan menggunakan bekas yang diperbuat dari kertas di gerai makanan di Arked Meranti itu.

“Bagi memudahkan urusan pembayaran kepada gerai makanan di Arked Meranti, pihak kami akan ke sana bagi mengira jumlah kupon yang diterima setiap gerai dan bayaran akan dibayar mengikut jumlah kupon yang diterima.

Selain membantu mahasiswa kurang berkemampuan, pihak kami juga berhasrat ingin membantu dalam mempromosikan Arked Meranti yang baru dirasmikan pada 8 Disember yang lalu,” katanya lagi.

Penerima kupon makanan percuma Pejabat Naib Canselor UTM beratur bagi memilih makanan yang dijual di Arked Meranti.
Dua mahasiswa UTM menunjukkan makanan yang dibeli menggunakan kupon makanan percuma edaran PNC di Arked Meranti pagi tadi.

Explore More