Mei 2, 2025

UTM PETRONAS Carigali ()

UTM, PETRONAS Carigali perkukuh kerjasama dua hala dalam bidang kejuruteraan petroleum

JOHOR BAHRU, 2 Mei — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam bidang kejuruteraan petroleum apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama PETRONAS Carigali Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi memperluas kerjasama dua hala khususnya dalam konteks akademik dan industri.

Majlis penandatangan MoU yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru, disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Naib Presiden (Development, Upstream) PETRONAS, Hazli Sham Kassim.

MoU ini dilihat sebagai pemangkin penting dalam merapatkan jurang antara akademia dan keperluan industri, khususnya dalam sektor minyak dan gas yang kian mencabar. Antara bidang utama yang akan diberi tumpuan termasuk Penambahbaikan Pemulihan Minyak (Enhanced Oil Recovery, EOR), Kejuruteraan Takungan (Reservoir Engineering), Penilaian Formasi, Penambahbaikan Pengeluaran, Teknologi Penggerudian dan Jaminan Aliran (Flow Assurance).

Prof. Dr. Mohd Shafry dalam ucapannya berkata “Kerjasama ini menjadi bukti bahawa gabungan kepakaran akademik dan industri adalah kunci untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten, malah bersedia menyumbang secara signifikan dalam pembangunan industri strategik negara.”

UTM PETRONAS Carigali
Prof. Dr. Mohd Shafry berkongsi pandangan atas kerjasama yang terjalin antara UTM dengan PETRONAS Carigali

Selain aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), MoU ini turut merangkumi pelaksanaan program sangkutan pelajar dan pensyarah Universiti ini, termasuk latihan industri serta projek penyelidikan bersama. Malah, pertukaran bahan akademik dan penerbitan teknikal turut dirancang bagi menyokong penghasilan penyelidikan berimpak tinggi.

Apa yang lebih istimewa, kesediaan PETRONAS Carigali berkongsi data teknikal berkaitan Pelan Pembangunan Medan (Field Development Plan, FDP) menerusi Kerjasama ini. Usaha ini bukan sahaja memperkaya kandungan akademik, malah memberikan pendedahan terus kepada pelajar tentang realiti operasi industri minyak dan gas secara langsung dari lapangan sebenar.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat berkenaan untuk terus melabur dalam pembangunan modal insan dan penyelidikan bersama, sejajar dengan matlamat PETRONAS untuk menyokong agenda tenaga mampan dan teknologi rendah karbon.

Kolaborasi ini dijangka memberi impak besar dalam memperkasa pembangunan bakat tempatan, mempercepat inovasi teknologi, serta menyokong aspirasi negara dalam bidang tenaga mampan dan industri huluan.

UTM PETRONAS Carigali ()
Pemeteraian kerjasama yang selesai disempurnakan kedua-dua belah pihak

Usaha ini secara tidak langsung memperkukuh agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara dan memberi manfaat secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.

UTM melalui kerjasama strategik ini membuktikan kesediaannya menjadi peneraju dalam menjalin jaringan industri-akademik yang progresif, selaras dengan peranannya sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf global yang menyokong transformasi teknologi negara.

Turut hadir barisan pengurusan kanan kedua-dua pihak, termasuk pensyarah dan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM.

Explore More