LANGKAWI, 22 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menunjukkan komitmen strategik dalam menyumbang kepada pembangunan sektor maritim dan aeroangkasa negara melalui penyertaan aktif dalam Malaysia Maritime Conference yang berlangsung sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.
Persidangan berprestij yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia, menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan institusi pendidikan tinggi dalam usaha merangka masa depan sektor maritim negara secara lebih mampan dan bersepadu.

Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, yang turut hadir dalam persidangan tersebut, menegaskan kepentingan sinergi antara kerajaan, industri dan universiti dalam memperkukuh ekosistem teknologi dan bakat maritim negara.
“UTM bersedia untuk memainkan peranan utama dalam menyumbang kepakaran tempatan melalui penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi lestari yang sejajar dengan keperluan strategik negara,” ujar beliau.
Naib Canselor juga berkesempatan menyantuni Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, semasa lawatan beliau ke reruai UTM di LIMA 2025. Lawatan ini memperlihatkan sokongan padu Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap usaha UTM memperluas jaringan strategik dengan pemain industri di peringkat antarabangsa.
Selain itu, beberapa siri pertemuan penting telah diadakan antara Naib Canselor UTM dan pemain industri utama sektor maritim dan aeroangkasa. Perbincangan ini membuka potensi kerjasama baharu dalam bidang penyelidikan termaju, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi – khususnya dalam bidang kejuruteraan laut, sistem pertahanan maritim, automasi, dan teknologi hijau.
Penglibatan UTM di LIMA 2025 menyerlahkan peranan universiti bukan sekadar sebagai pusat pendidikan, tetapi sebagai rakan strategik negara dalam mempercepat agenda transformasi teknologi dan kelestarian nasional.
Pejabat Naib Canselor yakin usaha berterusan ini akan memperkukuh kedudukan UTM sebagai universiti teknologi terulung yang bersedia menghadapi cabaran masa depan – selaras dengan visi untuk Menginovasi Penyelesaian Lestari bagi kesejahteraan negara dan umat sejagat.
Kerana Tuhan Untuk Manusia | Menginovasi Penyelesaian Lestari