Mei 21, 2025

UTM perkukuh kerjasama strategik di LIMA 2025

LANGKAWI, 21 Mei 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menunjukkan komitmen dalam menjalin kerjasama berimpak tinggi bersama industri strategik negara menerusi penyertaan aktif dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim turut hadir menyertai delegasi UTM ke LIMA 2025 bagi meneroka peluang kolaborasi antara universiti dan sektor industri berteknologi tinggi, khususnya dalam bidang aeroangkasa, pertahanan, maritim dan keselamatan.

LIMA 2025 bukan sekadar platform pameran ketenteraan dan keselamatan serantau, bahkan menjadi medan strategik bagi UTM memperkukuh peranan sebagai universiti penyelidikan yang memacu inovasi teknologi negara.

Antara penglibatan utama UTM dalam edisi kali ini termasuk:

  • Pertemuan bersama pemain industri utama dalam sektor aeroangkasa dan maritim bagi membincangkan potensi kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D);

  • Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan syarikat G7 Aerospace, memfokuskan kepada pembangunan teknologi penerbangan dan pengkomersialan hasil penyelidikan;

  • Penyertaan penyelidik UTM dalam pameran inovasi, mempamerkan teknologi maritim dan sistem robotik terkini hasil ciptaan pelajar dan pensyarah UTM;

  • Lawatan ke reruai UTM oleh YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

  • Kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Pertahanan, YB Tuan Adly Zahari, yang merupakan seorang Alumni UTM.

Melalui penyertaan dalam LIMA 2025, UTM menzahirkan komitmen untuk terus menyumbang kepada agenda nasional melalui pendekatan penyelidikan berimpak tinggi, inovasi lestari dan pembangunan bakat teknikal yang berorientasikan masa hadapan.

Naib Canselor mengutarakan bahawa pameran seperti LIMA membuka ruang strategik untuk universiti mendekatkan diri dengan ekosistem industri, menyelaraskan penyelidikan dengan keperluan negara dan mengukuhkan kedudukan UTM di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama antara akademia dan industri bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan untuk menjayakan transformasi teknologi negara,” ujar beliau.

Pejabat Naib Canselor yakin penglibatan UTM dalam LIMA 2025 akan membuka lebih banyak ruang strategik untuk membina jaringan, memperkukuh reputasi akademik serta mempercepatkan penerapan teknologi tempatan ke pasaran global.

Kerana Tuhan Untuk Manusia | Menginovasi Penyelesaian Lestari

Explore More