JOHOR BAHRU, 7 Mei – Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengorak langkah dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penganjuran Bengkel Train of Trainers (ToT) bagi Program Project Ideation Experience (PIE) 2025 peringkat Negeri Johor. Program ini merupakan penganjuran dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian dan Cawangan Bersama Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) bagi Persatuaan Komunikasi dan Persatuan Teknologi Kenderaan (ComSoc/VTS), serta mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ). Inisiatif ini turut menerima tajaan daripada Majlis IEEE mengenai Pengecaman Frekuensi Radio (RFID)-Cawangan Malaysia, Cawangan Bersama IEEE Malaysia bagi Antena & Penyebaran/Teori & Teknik Gelombang Mikro/Keserasian Elektromagnetik (AP/MTT/EMC), Enviromet Technologies Sdn. Bhd., Sigtech Engineering Sdn. Bhd., dan Global Lightning Technologies (M) Sdn. Bhd.
PIE 2025 merupakan kesinambungan kejayaan PIE 2024, dengan pelaksanaannya diperluas ke seluruh negeri Johor. Program ini memberi tumpuan kepada penerapan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) dan teknologi Internet Kebendaaan (Internet of Things – IoT) dalam kalangan pelajar dan guru sekolah menengah, selaras dengan usaha memperkukuh pendidikan abad ke-21.
Bengkel ToT yang diadakan pada 7 Mei 2025 ini telah menghimpunkan seramai 25 orang guru pembimbing dan lima penyelaras STEM dari lima daerah di Johor, iaitu Pontian, Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai, dan Kota Tinggi. Menyemarakkan lagi bengkel ini, enam orang mahasiswa FKE turut terlibat sebagai fasilitator, yang mana mereka juga pernah berperanan sebagai fasilitator dalam program yang sama pada tahun 2024.


Bengkel ini merupakan pembuka tirai kepada Fasa 1 pelaksanaan PIE 2025 yang dirangka dalam tiga fasa utama. Fasa 1 akan berlangsung dari Mei hingga Julai 2025 dan memberi tumpuan kepada latihan intensif kepada fasilitator, termasuk Kem PIE yang dijadualkan pada 29 hingga 30 Julai 2025 di UTM Johor Bahru. Fasa 2 pula akan berlangsung pada Ogos hinga September 2025. Dalam fasa ini, para peserta akan membangunkan prototaip dan menjalani sesi pemantauan di sekolah-sekolah terlibat, disusuli kemuncak fasa, Pertandingan Inovasi e-Reka serta Majlis Perasmian Penutupan yang akan diadakan pada 24 September 2025. Seterusnya, Fasa 3 akan bermula dari Oktober hingga Disember 2025. Tumpuan utama dalam fasa terakhir ini adalah kepada usaha memperkasa Kelab STEM dan pelaksanaan program pemindahan ilmu di sekolah.

Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan kepada lima modul utama sebagai asas pelaksanaan projek inovasi berteraskan IoT di sekolah. Modul-modul tersebut merangkumi Pendekatan CDIO (Conceive–Design–Implement–Operate), pengenalan kepada sistem IoT, penggunaan simulator Wokwi, pembangunan perkakasan menggunakan ESP32, dan pembangunan aplikasi mudah alih menggunakan Blynk.

Dengan tema “IoT untuk Karbon Sifar”, PIE 2025 turut menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti, inovasi teknologi dan tindakan terhadap perubahan iklim. Inisiatif ini selari dengan agenda nasional untuk melahirkan generasi celik teknologi yang turut cakna terhadap kelestarian alam sekitar.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan Bengkel ToT PIE 2025 berjaya mencapai objektif utamanya, iaitu memperkasa guru sebagai pemimpin STEM di sekolah, serta melatih pelajar UTM sebagai fasilitator komuniti. Usaha ini diharap dapat membentuk ekosistem pendidikan yang lebih inklusif, inovatif dan lestari di peringkat akar umbi.
