“Fokus utama kita adalah untuk memastikan semua reka bentuk bersifat inklusif untuk semua.”
Inilah idea yang dilontarkan oleh Ts. Dr. Azari Mat Yasir, pensyarah kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sewaktu ditebak dengan persoalan konsep Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) yang kini kian mendapat perhatian umum terutamanya dalam konteks pembangunan kemudahan setempat.
Beliau yang kini menerajui inisiatif penubuhan Living Lab on Universal Design (LLOUD) di kampus ini, usahanya bersama para pelajar boleh dilihat menerusi penghasilan mural di kawasan tanjakan (ramp) berhampiran Kafe Tok Su di fakulti berkenaan. Pemilihan tanjakan yang dianggap ikonik bagi penuntut dan juga warga UTM terutamanya warga Fakulti Alam Bina dan Ukur sejak 1987 dilihat sebagai lokasi pertama yang tepat untuk menyuntik kesedaran akan konsep keterangkuman atau inklusif masyarakat dalam aspek reka bentuk sejagat ini.

“Tanjakan itu sangat dikenali oleh warga kampus dan alumni FABU. Jadi saya pilih untuk diadakan mural di lokasi itu sebagai simbol yang menggabungkan sejarah, identiti dan mesej inklusiviti dalam satu ruang yang sangat dekat dengan komuniti,” ujar beliau.
Reka Bentuk Sejagat merupakan satu pendekatan yang menekankan inklusiviti dalam memastikan semua golongan, terutamanya orang kurang upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, ibu mengandung dan sesiapa juga dapat menggunakan ruang dan kemudahan awam dengan selesa, selamat dan mudah. Berdasarkan Center for Universal Design, North Carolina State University, ia menggariskan tujuh prinsip asas, iaitu mempunyai tahap penggunaan yang sama rata; bersifat fleksibel dari segi pemilihan dan keupayaan penggunaan; ringkas dan mudah difahami; mempunyai maklumat yang mencukupi; meminimumkan bahaya atau kecelakaan; penggunaan keupayaan fizikal yang rendah dan penyediaan saiz serta ruang yang mesra pengguna.

“Reka Bentuk Sejagat bukan hanya untuk golongan OKU. Kita juga perlu mempertimbangkan mereka yang mungkin mengalami kekangan kecil dalam keadaaan tertentu seperti tidak mampu mencapai suis lampu yang terlalu tinggi atau tangga yang terlalu curam dan sebagainya, penting untuk dilihat dalam konteks reka bentuk secara menyeluruh,” ujar Dr. Azari.
Sementara itu, bagi Wan Aina Hazwani Wan Azwan Azwari, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian UTM, penglibatan dalam projek mural bukan sekadar tugasan akademik, tetapi satu bentuk sokongan kepada usaha inklusif yang dipelopori Dr. Azari. “Kami mahu karya kami menyampaikan mesej bahawa keperluan semua orang perlu diambil kira dalam kerja mereka bentuk,” katanya.

Beliau melihat Reka Bentuk Sejagat sebagai keperluan sebenar kerana sesiapa sahaja yang boleh berdepan pelbagai konteks kesukaran pada bila-bila masa. Menurut Wan Aina, mereka turut didedahkan dengan penggunaan elemen pasif dalam reka bentuk seperti tanjakan, lantai ‘tactile’ dan sistem bunyi sebagai penunjuk arah sebagai pendekatan yang lebih mesra alam dan mesra pengguna.
Sebagai pendidik, Dr. Azari bertekad memupuk kesedaran ini dalam kalangan pelajarnya yang dianggap sebagai ejen penting dalam merealisasikan inisiatif ini. Beliau berkata, “Arkitek ialah orang pertama yang melakar dan mereka bentuk sesebuah bangunan. Jadi, merekalah orang pertama yang seharusnya memahami keperluan dan cabaran pengguna.”
Namun usaha Dr. Azari tidak terhenti pada lukisan mural. Bermula September ini, Program Senibina bakal memperkenalkan kursus elektif “Universal Design” di fakulti berkenaan di bawah kelolaan beliau yang membolehkan pelajar membantu meningkatkan kemudahan kampus melalui projek-projek mikro. Melaluinya, mereka boleh mencadangkan untuk memasang tanjakan mudah alih di lokasi kritikal seperti tandas dan kaki lima di fakulti itu yang dapat memberi impak besar kepada pergerakan dan aksesibiliti pelajar OKU di kawasan berkenaan.
“Dengan RM300-400 dan satu kumpulan pelajar, kita boleh mulakan perubahan. Tidak perlu tunggu bajet besar. Ini tentang kesedaran dan tindakan kecil yang boleh memberi makna dan manfaat yang besar,” ujarnya. Buat masa ini, kursus berkenaan akan ditawarkan kepada para pelajar seni bina, dan berkemungkinan diperluas kepada pelajar di fakulti lain sebagai elektif bebas pada masa akan datang.

Menanam impian untuk menjadikan FABU sebagai fakulti pertama di UTM yang patuh sepenuhnya kepada piawaian MS1184, beliau turut mengharapkan usaha ini dapat dilaksanakan ke seluruh kampus. Menurutnya, sekiranya inisiatif ini berjaya dilaksanakan, UTM mampu menjadi universiti mesra OKU yang bakal menarik golongan berkeperluan khas untuk menyambung pengajian di sini bukan hanya dari dalam negara bahkan dari luar negara.
“Kesan Reka Bentuk Sejagat ini tidak perlu tunggu 10 tahun untuk dirasai. Contohnya, apabila tanjakan yang saya katakan tadi siap dipasang, ia terus boleh digunakan oleh pengguna berkerusi roda dan kita oleh lihat impaknya serta-merta,” ujar beliau.
Menolak untuk dianggap pakar dalam bidang ini, beliau lebih selesa menganggap dirinya sebagai “enthusiast”, yang dapat membawa perubahan besar bermula dengan kesedaran dengan tindakan kecil. Impian beliau untuk melihat UTM sebagai kampus mesra OKU bukan lagi satu ilusi, sebaliknya kini dalam perjalanan menjadi realiti.

