Mei 16, 2025

Engagement NC Pensyarah Muda

Naib Canselor UTM santuni staf akademik muda

JOHOR BAHRU, 15 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh hubungan antara pimpinan universiti dan warga akademik muda menerusi Sesi Engagement Naib Canselor Bersama Staf Akademik Bawah Umur 40 Tahun, yang diadakan di kampus Johor Bahru pagi ini.

Program julung kali diadakan ini dikendalikan oleh Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd. Shafry bin Mohd. Rahim, dan dihadiri oleh para pensyarah muda yang berperanan penting dalam membawa agenda transformasi UTM ke hadapan.

Dalam ucapan beliau, Naib Canselor menzahirkan hasrat untuk lebih dekat dengan golongan akademik muda, yang dianggap sebagai tulang belakang universiti dalam aspek pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat. Beliau turut memetik Surah Al-Ahqaf ayat 15 sebagai pedoman, yang menyeru agar mereka yang menghampiri usia 40 tahun bersyukur, beramal soleh, dan memikul amanah dengan penuh integriti.

“Usia 40 tahun adalah fasa penting untuk merencana kehidupan yang lebih bermakna, dan melonjakkan peranan kita sebagai pensyarah universiti,” ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa staf akademik di UTM dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan lima tanggungjawab hakiki – yang disebut sebagai deretan “P”, iaitu Pengajaran & Penyeliaan, Penyelidikan, Penulisan, Perundingan dan Perkhidmatan kepada Watan. Menyedari cabaran yang dihadapi, beliau menyeru agar pensyarah muda mencari formula bijaksana dan seimbang dalam melaksanakannya.

Prof. Dr. Shafry juga menekankan kepentingan nilai teras UTM – Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian (ISES) – sebagai kompas kerja warga universiti. Beliau mengajak staf muda untuk mengoptimumkan masa dan sumber, membina kerjasama strategik dengan mentor senior, dan berani mencuba pendekatan inovatif dalam amalan kerja.

Mengakhiri ucapannya, Naib Canselor mengajak semua pensyarah muda untuk berani menyahut cabaran dan menyumbang secara signifikan dalam memacu kecemerlangan universiti, selari dengan semangat Menginovasi Penyelesaian Lestari.

Program diakhiri dengan sesi dialog terbuka, membincangkan isu-isu kritikal dan aspirasi staf akademik muda dalam kerangka masa depan UTM.

 

Kerana Tuhan Untuk Manusia | Menginovasi Penyelesaian Lestari

Explore More