Mei 21, 2025

Era baharu kepustakawanan tuntut pustakawan sebagai agen perubahan

JOHOR BAHRU, 13 Mei – Seramai 53 pustakawan daripada pelbagai gred dan agensi perpustakaan telah menyertai program Beyond Today: Growing Together for Tomorrow’s Library yang berlangsung di Perpustakaan Sultanah Zanariah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program anjuran Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia (Kumpulan Selatan) ini dirangka bagi menyokong pembangunan profesional warga perpustakaan agar lebih cekap, berdaya tahan dan proaktif dalam memacu institusi perpustakaan masa hadapan. Inisiatif ini turut menyokong usaha memperkukuh profesion kepustakawanan supaya terus relevan, dihormati dan berpengaruh dalam ekosistem maklumat semasa dan akan datang.

Program ini terbahagi kepada empat sesi utama yang dikendalikan oleh tiga tokoh profesional dalam bidang kepustakawanan iaitu Puan Shamsiah Abu Bakar, Penolong Ketua Pustakawan, Perpustakaan Universiti Malaya; YM Tengku Tarmizi Tengku Aziz, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Sultan Ismail; dan Puan Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan), Perpustakaan UTM merangkap Pengerusi Persatuan Pustakawan Malaysia (Kumpulan Selatan).

Panel penceramah terdiri daripada Pn. Khairulbahiyah Yaakub (Perpustakaan UTM), YM Tengku Tarmizi Tengku Aziz (Perpustakaan Sultan Ismail), dan Pn. Shamsiah Abu Bakar (Perpustakaan UM)

Sesi pertama bertajuk The Future Ready Library: AI, Digitalisation and Human Touch disampaikan oleh Puan Shamsiah. Beliau menekankan bahawa perpustakaan masa hadapan bukan sekadar pusat penyimpanan buku, sebaliknya berperanan sebagai ekosistem ilmu yang dinamik melalui integrasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan sistem pintar. Penggunaan chatbot, sistem pencarian pintar, pengkatalogan automatik dan sistem cadangan koleksi merupakan antara inisiatif moden yang diketengahkan. Namun begitu, sentuhan manusia tetap diperlukan untuk membimbing pengguna menilai maklumat secara beretika dan berkesan.

Peranan pustakawan turut berkembang dalam era transformasi digital sebagai penjaga etika maklumat dan fasilitator pembelajaran sepanjang hayat, di samping menggalas tanggungjawab dalam membina komuniti celik teknologi. Perpustakaan turut berfungsi sebagai hub kolaborasi strategik kepada pemegang taruh dan menjadikannya institusi yang sentiasa relevan dalam menghadapi Revolusi Industri 5.0.

Sesi kedua disampaikan oleh YM Tengku Tarmizi dengan tajuk Low Carbon Community Hub @ PSI. Beliau berkongsi pengalaman Perpustakaan Sultan Ismail (PSI) dalam memacu agenda kelestarian melalui pembangunan Sudut Lestari – hasil kolaborasi bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Kyoto Environmental Activities Association (KEAA) dan Japan International Cooperation Agency (JICA).

Perkongsian mengenai Low Carbon Community Hub @ PSI oleh YM Tengku Tarmizi Tengku Aziz

Berinspirasikan Kyoto Model, inisiatif yang bermula dari tahun 2018 ini, telah berkembang menjadi sudut pendidikan alam sekitar yang mempromosikan kesedaran, amalan gaya hidup rendah karbon serta pembangunan sumber manusia berkaitan alam sekitar. Bermula dengan siri bengkel, lawatan dan latihan di Kyoto, Sudut Lestari kini berfungsi sebagai pusat pembelajaran interaktif dengan penglibatan aktif lebih 79 sukarelawan dan kerjasama strategik daripada pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa.

Sepanjang 2023 dan 2024, inisiatif ini berjaya menjana impak positif melalui peningkatan jumlah pelawat, pelaksanaan program berkala dan pengurangan pelepasan karbon iaitu setara dengan hampir dua juta pokok ditanam, sekali gus meraih pengiktirafan termasuk Anugerah Pengurusan Sisa 2023, Green Accord Initiative Award 2024 dan Anugerah Perancangan Rendah Karbon oleh Malaysian Institute of Planners (MIP). PSI kini bukan hanya perpustakaan, tetapi pusat komuniti mampan yang memacu perubahan ke arah masa hadapan yang lebih hijau dan berdaya tahan.

Pada sesi ketiga, dengan mengetengahkan tajuk Pioneering Research Literacy Through Citizen Science – UTM Experience, pengkayaan ilmu diteruskan oleh Puan Khairulbahiyah Yaakub. Berasaskan pendekatan sains terbuka, Perpustakaan UTM tampil sebagai hab literasi sains dan penyelidikan yang menyatukan komuniti dan penyelidik dalam menangani masalah local sepert isu perubahan iklim, kualiti air dan udara, pencemaran cahaya dan kesihatan planet. Inisiatif ini diterjemah melalui program berimpak seperti International Symposium on Citizen Science (ISOCS 2023) danInternational Citizen Science Boot Camp (ICBSC 2024). ICSBC 2024 mengetengahkan modul seperti pemerhatian burung, flora (eco-print), serangga dan kualiti air. Kajian lapangan ini telah berjaya meningkatkan literasi sains dan keyakinan peserta secara signifikan kepada konsep citizen science.

Pioneering Research Literacy Through Citizen Science – UTM Experience oleh Puan Khairulbahiyah Yaakub

Selain itu, Perpustakaan UTM turut memperkenalkan Citizen Science Framework yang menyokong tadbir urus data mentah dan pemindahan pengetahuan secara strategik. Dengan kerjasama antara kerajaan, universiti, industri dan komuniti (GUCI), inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Perkongsian terakhir oleh Puan Shamsiah Abu Bakar mengenai era kepimpinan pustakawan masa kini

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan segmen terakhir iaitu Leadership & Strategic Thinking: Libraries as Change Agents. Puan Shamsiah menekankan bahawa era kepimpinan pustakawan masa kini menuntut transformasi dan inovasi berterusan. Kepimpinan diri menjadi asas utama dalam membentuk keupayaan  berfikir secara strategik. Seorang pustakawan bukan lagi sekadar pengurus maklumat, tetapi pemimpin berwawasan yang mampu menyusun visi jangka panjang, menganalisis cabaran persekitaran dan bijak membuat keputusan berasaskan data.

Kesedaran, keyakinan diri, empati dan daya motivasi yang tinggi membolehkan pustakawan menjadi agen perubahan yang berkesan. Ia memperkukuh peranan pustakawan sebagai penggerak literasi maklumat, pemangkin inovasi dan rakan strategik universiti.

    Antara peserta yang hadir daripada perpustakaan pelbagai agensi negeri Johor

Program berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada semua penceramah oleh wakil Jabatan Perpustakaan UTM, En. Md. Razib Karno, Timbalan Ketua Pustakawan (Perancangan dan Pembangunan), Perpustakaan UTM. Peserta yang hadir menzahirkan rasa puas hati dengan intipati program dan berharap agar sesi perkongsian ini dapat diteruskan dalam memperkasa profesion kepustakawanan dalam menghadapi cabaran dan perubahan masa hadapan. Semoga program ini dapat menjadi wadah kepada pengembangan ilmu, perkongsian kepakaran serta membina jaringan profesional dalam kalangan staf perpustakaan.

Explore More