Mei 21, 2025

Siapa sangka sekumpulan rakan sekolah yang dahulunya bermain robot sumo dan robot soccer sebagai hobi kini muncul sebagai antara pemacu keusahawanan teknologi terutamanya dalam pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di Malaysia dan juga rantau Asia?

Inilah kisah DatoBulat Tech Lab, sebuah startup yang kini semakin dikenali sebagai peneraju dalam membangunkan modul robotik khususnya kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Diasaskan secara rasmi pada tahun 2023, syarikat ini diterajui oleh Mohamad Hazmi Mohamad Hafizi, graduan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Muhammad Alif Danish Yusrinor, pelajar tahun tiga Kejuruteraan Automotif, juga dari UTM.

Bersama dua lagi rakan pengasas dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan juga Universiti Tenaga Nasional UNITEN, mereka menggabungkan semangat, kemahiran teknikal dan pengalaman sejak zaman persekolahan untuk mengasaskan DatoBulat Tech Lab yang kini beroperasi dari sebuah pejabat kecil di Bandar Damansara, Kuantan, Pahang.

Dari hobi ke misi besar

Permulaan mereka cukup sederhana, sekadar ingin menyemarakkan kembali minat pelajar terhadap STEM yang dilihat semakin pudar selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka mengambil inisiatif menjalankan program dalam talian seperti membina permainan melalui Scratch, yang secara tidak langsung menarik minat pelajar terhadap dunia teknologi.

Melihat sambutan yang baik, mereka mula membina modul hands-on yang merangkumi pelbagai aspek seperti asas reka bentuk robotik, cetakan 3D, pendawaian asas, pemprograman serta peningkatan keyakinan diri untuk menyertai pertandingan. Setiap modul bukan sekadar teknikal, tetapi turut menyuntik elemen kerja berpasukan dan pengalaman sebenar yang berguna dalam dunia kerja.

Hazmi ketika ditemu bual berkongsi bahawa teknologi yang dibangunkan turut disertakan dengan pelbagai modul pembelajaran yang membantu meningkatkan kemahiran murid sekolah dalam bidang STEM

UTM menyemarak semangat keusahawanan

Sokongan daripada Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi (UTM XCITE) menjadi pemangkin kepada pertumbuhan syarikat ini. Bermula sebagai pelajar yang hanya tahu membina robot, mereka kini memiliki struktur perniagaan dan pemahaman kukuh tentang pemasaran, idea pitching dan strategi perkembangan syarikat.

“Pada awalnya, kami hanya membina robot berdasarkan minat semata-mata. Namun dengan bimbingan UTM XCITE, kami mula memahami pendekatan sebenar untuk membawa produk ke pasaran – termasuk aspek seperti penyampaian idea (pitching), pengesahan pasaran (market validation), serta peluang untuk berhubung dengan lebih ramai individu dalam ekosistem keusahawanan,” ujar Hazmi dengan penuh penghargaan.

Bermula dengan dana awal dari UTM XCITE dan Sunway iLabs bernilai hampir RM28,000, mereka membeli pencetak 3D, membina kit robotik dan mula menerima tempahan daripada sekolah dan organisasi sekitar Malaysia. Syarikat mereka kini berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai entiti enterprise dan bercadang untuk beralih kepada Sendirian Berhad dalam masa terdekat.

Hazmi dan Alif bergambar bersama salah satu kit robotik ciptaan mereka serta cek cura sumbangan yang diterima daripada MTDC bagi menyokong pembangunan inovasi

Menembusi pasaran antarabangsa

Pada tahun pertama penubuhan, mereka berjaya menembusi pasaran ke Thailand dan Indonesia. Pada tahun kedua, mereka dijemput ke Iran untuk memberi ceramah dan bimbingan bagi pelajar menyertai pertandingan robotik dunia. Tahun ini, mereka membimbing pelajar di Kawasan Felda dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Goh, Pahang, sehingga berjaya ke pertandingan World Robot Games di Beijing, China.

Mereka turut membawa pelajar Darjah 3 mewakili Malaysia ke pertandingan antarabangsa di Singapura, dan berjaya memperoleh tempat kedua, pencapaian luar biasa yang membuktikan betapa potensi pelajar boleh digilap dengan bimbingan yang betul.

Antara model robotik yang digunakan dalam sesi pembelajaran bersama murid sekolah

Cabaran dan tekad

Sebagai pelajar sepenuh masa ketika perniagaan ini dibangunkan, keperluan untuk membahagikan masa antara pengajian dengan menguruskan perusahaan bukanlah tugas mudah. Hazmi, selaku pengasas dan pengendali teknikal utama, perlu menyiapkan projek tahun akhir (FYP), menghadiri kelas dan dalam masa yang sama membina robot untuk klien serta pertandingan.

“Cabaran terbesar ialah masa. Subjek Kejuruteraan Elektrik bukan mudah. Tapi saya cuba imbangkan dengan bantuan mentor di UTM seperti Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi. Separuh masa sebagai pelajar, separuh lagi sebagai usahawan,” katanya.

Tambah mencabar, rakan pengasas lain dari universiti berlainan, menyebabkan kerja teknikal terpaksa dijalankan secara jarak jauh sebelum perjumpaan bersama. Kini, dengan pejabat kecil di Kuantan, operasi mereka lebih tersusun.

Modul, visi dan impak

Modul DatoBulat Tech Lab disasarkan kepada pelajar pra-Universiti dan sekolah, terutamanya sekolah luar bandar. Kit mereka berharga sekitar RM500 hingga RM2,500, bergantung kepada spesifikasi. Kit ini boleh digunakan secara berkumpulan, sesuai dengan format pertandingan robotik dua orang sepasukan.

Mereka pernah mengendalikan sesi pembelajaran untuk hampir 50 pelajar pada satu-satu masa, antaranya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom, kini dalam proses untuk membawa masuk modul mereka ke dalam kurikulum sekolah antarabangsa.

Misi utama mereka kini jelas, menjadikan DatoBulat sebagai hab inovasi Asia Tenggara dalam pendidikan STEM berasaskan robotik. Setiap tahun, mereka memperbaharui reka bentuk, modul, dan sistem berdasarkan maklum balas pertandingan serta pelaksanaan di lapangan.

Gabungan kepakaran daripada pelbagai latar belakang pengajian mendorong kemajuan teknologi dan inovasi yang dibangunkan oleh pasukan ini

Nasihat kepada pelajar dan usahawan muda

“Jangan tunggu sehingga semuanya sempurna untuk bermula. Jika ada idea, usahakanlah. Peluang sentiasa terbuka, dan kita mampu menyediakan penyelesaian. Waktu bergelar pelajarlah yang paling sesuai untuk mencuba. Andai ada projek yang dirasakan mampu memberi impak, jangan segan untuk mendapatkan bimbingan dan sokongan, sepertimana kami mendapatkan kedua-duanya daripada UTM XCITE,” ujar Hazmi dengan penuh semangat.

Hari ini, DatoBulat Tech Lab bukan sekadar nama yang unik. Ia adalah simbol transformasi; dari hobi kepada peluang, dari pelajar kepada usahawan, dan dari Kuantan ke pentas dunia.

Explore More