JOHOR BAHRU, 22 April – Siri ketiga Wacana Intelektual MADANI 2025, anjuran Majlis Profesor UTM dengan kerjasama Fakulti Komputeran (FC), telah mengangkat topik “Kecerdasan Buatan (AI) dan Teknologi Digital: Cabaran, Peluang dan Etika”. Sesi yang sarat dengan perbincangan ilmiah ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Zaiton binti Mohd Hashim, dan menampilkan dua profesor pakar dari fakulti berkenaan, iaitu Prof. Dr. Naomie binti Salim serta Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar. Wacana ini turut disertakan dengan penampilan istimewa DIANA, avatar hologram pintar hasil inovasi penyelidik UTM.

Dalam sesi pembukaan wacana, Prof. Dr. Naomie menekankan peranan ‘Big Data’ dan ‘Data Science’ dalam memperkukuh dasar sosial negara. Beliau menjelaskan bahawa penggunaan data mikro, berbanding subsidi berskala pukal, dapat membantu kerajaan menyalurkan bantuan secara lebih adil, berdasarkan algoritma yang mempertimbangkan lokasi, harga barangan, dan keperluan isi rumah. “Setiap isi rumah boleh mempunyai baki perbelanjaan yang optimum jika sistem subsidi dimodelkan melalui pendekatan sains data yang inklusif dan lebih baik,” katanya sambil merujuk kepada kejayaan program sosial seperti di Brazil yang berasaskan pendekatan serupa.
Prof. Dr. Naomie turut menyentuh tentang keperluan membina set data lokal yang mencerminkan bahasa, budaya dan tabiat unik masyarakat Malaysia agar sistem AI bukan sahaja tepat, malah juga bebas bias. “Audit etika terhadap model AI perlu dilakukan secara berkala, dan masyarakat wajar diberikan penjelasan (right to explanation) melalui papan pemuka awam,” ujar beliau sambil mengesyorkan pembinaan Large Language Model (LLM) berasaskan data tempatan agar lebih adil dan telus.

Dalam sesi berikutnya, Prof. Dr. Mohd Shahrizal menyusuri sejarah evolusi teknologi digital dari era satu rumah satu komputer kepada zaman semasa yang sarat dengan Extended Reality (XR). Beliau menegaskan bahawa teknologi immersive seperti Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) kini menjadi norma baharu dalam pembelajaran pasca-pandemik. “Kita kini mampu belajar dari mana-mana sahaja, tanpa guru secara fizikal kerana kehadiran XR dan AI yang mampu menyampaikan ilmu dalam bentuk interaktif dan realistik,” jelasnya.
Prof. Dr. Shahrizal juga membincangkan etika dan tanggungjawab sosial dalam pembangunan kandungan digital. Menurut beliau, nilai-nilai teras UTM seperti Integrity, Synergy, Excellence dan Sustainability (ISES) perlu diterapkan dalam setiap aspek pembangunan teknologi, agar teknologi itu kekal bermanfaat kepada manusia.

Sebagai kemuncak wacana, DIANA, hologram avatar pintar, tampil sebagai panel maya yang memberi respons terhadap persoalan berkaitan bias algoritma dan pemerkasaan komuniti luar bandar. DIANA turut menekankan keperluan pembersihan data dan pematuhan kepada prinsip keadilan serta integriti.

Perbincangan ini turut menekankan keperluan melahirkan saintis data sosial melalui program interdisiplin mahupun multidisiplin yang menggabungkan sains komputer, sains sosial dan dasar awam. Program seperti ini dijangka dapat menyumbang kepada tadbir urus data negara serta pembangunan dasar berasaskan simulasi dan visualisasi AI.

Wacana Intelektual MADANI Siri 3 membuktikan bahawa teknologi digital dan kecerdasan buatan bukan sekadar isu teknikal, tetapi turut menyentuh dimensi sosial, budaya dan kemanusiaan. Warga universiti dan masyarakat umum diharap dapat terus mengevaluasi dan membentuk teknologi bukan hanya merujuk kepada kecekapan sahaja, malah juga perlu diambil kira dari segi etika dan nilai itu sendiri.