JOHOR BAHRU, 29 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu pembangunan modal insan menerusi penganjuran Festival Kerjaya Premium, Keusahawanan dan Alumni (UTMPEARL 2025), sebuah acara bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan industri, pencari kerja, usahawan muda, dan alumni UTM dalam satu platform strategik.
Festival selama dua hari yang berlangsung pada 29 dan 30 April di Dataran UTM, Johor Bahru ini membuka lebih 2,500 peluang pekerjaan dan latihan industri menerusi penyertaan lebih 70 syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara. Penganjuran program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Talentbank dan Johor Talent Development Council (JTDC).
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, “Saya percaya bahawa institusi pengajian tinggi bukan sahaja sekadar tempat menimba ilmu, tetapi juga ruang membina jati diri, sahsiah, kemahiran-kemahiran tinggi dan seterusnya mencorak haluan kehidupan yang berstrategi selepas tamat pengajian”.
Beliau turut menekankan kepentingan sinergi antara universiti dan industri dalam memastikan kebolehpasaran graduan kekal kompetitif dan relevan dengan keperluan semasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Encik Ben Ho dalam ucapannya menyatakan festival ini merupakan inisiatif kolaboratif penting yang bukan sahaja menghubungkan pelajar dan bakal graduan dengan majikan, tetapi turut membantu membentuk landskap pembangunan bakat negara.
“This ceremony marks the official commencement of UTMPEARL 2025, a collaborative initiative between UTM through its Career Center and Talentbank. The festival is designed not only as a platform for students and graduates to meet prospective employers, but also as a strategic effort in collaboration with Talentbank to foster national talent development,” ujar beliau.

Majlis perasmian festival telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YB Tuan Aznan Tamin, yang turut menyaksikan sesi pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara UTM dan beberapa syarikat terkemuka termasuk CIDB Technologies Sdn. Bhd., Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn. Bhd., dan PPG Coatings (Malaysia) Sdn. Bhd. Perjanjian ini melambangkan komitmen berterusan UTM dalam memperkukuh hubungan strategik bersama industri bagi menyokong pembangunan kerjaya graduan dan penawaran latihan industri yang berkualiti.
Menurut YB Aznan Tamin dalam ucapannya, “Rebutlah peluang baharu yang sedang dan akan terhidang, khasnya peluang-peluang ekonomi yang terbentuk melalui Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) yang akan mentransformasi negeri dan negara ini ke tahap pembangunan lebih tinggi dan mampan, melalui bakat-bakat global dan berdaya pemikiran masa hadapan.”
Beliau turut menekankan enam objektif utama UTMPEARL 2025 yang berteraskan pembangunan bakat global, termasuk, menyediakan platform berkualiti kepada graduan; memperkasa interaksi pelajar bersama industri dan alumni; membuka paradigma keusahawanan dalam kalangan pelajar; membantu industri mendapatkan bakat muda berkualiti; menyediakan laluan latihan industri sebagai jambatan kepada realiti kerjaya; serta meluaskan jaringan dua hala antara UTM dan pihak industri serta alumni, dari dalam dan luar negara.


UTM menerusi penganjuran UTMPEARL 2025 dilihat terus komited melahirkan graduan yang kompeten, inovatif dan berdaya saing, sejajar dengan aspirasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Malah, dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 100%, UTM kekal sebagai antara universiti terbaik dari segi penyediaan graduan berkualiti tinggi untuk pasaran kerja.
Acara ini turut menyediakan ruang untuk mengeratkan hubungan alumni dengan alma mater serta memperkasa bidang keusahawanan dan inovasi pelajar melalui pelbagai reruai interaktif, sesi bimbingan kerjaya, dan peluang jaringan industri secara langsung.
Dengan pelaksanaan festival seumpama ini, UTM bukan sahaja memainkan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi, malah muncul sebagai pemacu penting dalam mencorak masa depan ekonomi dan pembangunan bakat serantau.
