KUALA LUMPUR, 22 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi negara apabila menerima penarafan enam bintang dalam Employers’ Choice Awards 2025 anjuran Talentbank. Majlis penganugerahan telah berlangsung di EQ Hotel, Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen UTM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif serta responsif terhadap kehendak semasa industri. Pencapaian ini turut mencerminkan keberkesanan pendekatan pendidikan holistik yang diterapkan di universiti tersebut. UTM terus mengekalkan reputasi unggul dalam kebolehpasaran graduan, seperti yang dibuktikan melalui pencapaian memberangsangkan merentasi pelbagai bidang pengajian. Kekuatan program akademik yang dirangka secara menyeluruh serta kepakaran barisan tenaga pengajar yang berkaliber menjadi tunjang utama kepada kejayaan ini.

Komitmen UTM terhadap pendidikan bertaraf tinggi serta penekanan kepada pembangunan holistik pelajar telah mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menyeluruh dan berimpak tinggi. Hasilnya, graduan UTM bukan sahaja dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran teknikal, malah mempunyai keupayaan kepimpinan, pemikiran kritikal dan kebolehsuaian yang tinggi — ciri-ciri penting yang dicari oleh majikan di peringkat nasional dan global.
Dalam edisi 2025, UTM menerima penarafan enam bintang dalam pelbagai bidang pengajian, termasuk beberapa bidang yang meraih pengiktirafan tertinggi sebagai “Exemplary (Champion)”, iaitu antara yang terbaik di negara ini. Antara bidang yang diiktiraf termasuk Perakaunan, Sains Aktuari, Seni & Reka Bentuk, Seni Bina & Pembinaan, Bioteknologi, Pengkomputeran & Teknologi Maklumat, serta pelbagai bidang Kejuruteraan.
Bidang-bidang yang mencapai status “Exemplary (Champion)” ialah Aerospace & Aeronautical, Automotif, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekatronik, dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Selain itu, bidang Animasi, Keusahawanan, Kewangan, Pengurusan Sumber Manusia, Pengajian Bahasa, Pemasaran, Matematik dan Statistik, Perubatan, Psikologi, Ukur Bahan, serta Sains Sosial dan Kemanusiaan turut menerima penarafan enam bintang.

Pengiktirafan ini juga seiring dengan usaha UTM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi), serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat). Pencapaian ini mencerminkan peranan UTM sebagai institusi pengajian tinggi terkemuka yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, tetapi juga komited dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar.
Pengiktirafan dalam Employers’ Choice Awards 2025 ini menjadi bukti bahawa pendekatan pendidikan yang direncana oleh UTM bukan sahaja relevan dengan keperluan industri semasa, malah mampu melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Ia turut mengukuhkan lagi peranan UTM sebagai institusi pengajian tinggi yang bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik, tetapi juga berperanan membentuk modal insan holistik demi kemajuan negara dan kesejahteraan sejagat.
Penulis bersama: Dr. Suhaila Mohamad Yusuf, Pusat Kerjaya UTM
