MANJUNG, 27 Apr. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi membuktikan komitmennya sebagai peneraju pendidikan teknikal negara menerusi program UTM TechnoXplorer 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Boestamam, Manjung, Perak.
Program yang berlangsung selama tiga hari yang berakhir hari ini dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam Majlis Perasmian Penutup program berkenaan tengah hari tadi.

Dengan penyertaan 100 pelajar Tingkatan 4 daripada enam buah sekolah serta lebih 200 pelajar daripada 13 buah sekolah di daerah Manjung hadir sebagai pengunjung, program ini memberi pendedahan secara langsung berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi serta teknologi masa hadapan. Usaha ini seiring dengan matlamat memperkasa generasi muda untuk mendepani cabaran Industri 5.0, yang menekankan keseimbangan antara integrasi teknologi dan nilai kemanusiaan.
Program anjuran Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak ini membuka ruang kepada pelajar untuk lebih memahami aplikasi dunia sebenar dalam bidang teknikal, selain mengasah minat terhadap kerjaya masa depan yang berteraskan inovasi. Antara pengisian menarik ialah pengenalan kepada , teknologi dron, asas AI, serta pameran inovasi dari penyelidik UTM – selari dengan aspirasi menuju era ..
Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam ucapannya berkata program TechnoXplorer mencerminkan komitmen UTM dalam memperkasa masyarakat melalui bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan yang menjadi bidang teras universiti itu sejak penubuhannya pada tahun 1972. Berlandaskan legasi kecemerlangan lebih 50 tahun, UTM kini terus melonjakkan kecemerlangan institusi melalui inovasi penyelesaian lestari bagi menangani cabaran dan isu masyarakat, negara dan dunia melalui teknologi.

Turut hadir, YDH Toh Seri Bijaya Leftenan Kolonel Dato’ Shaharudin bin Hj. Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung serta wakil Pengurusan Universiti UTM, serta Pengetua SMK Ahmad Boestamam.
Sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara, UTM terus memperkukuh kedudukannya apabila menjadi institusi pertama di Malaysia yang menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI). Melalui inisiatif seperti TechnoXplorer 2025, UTM bukan sahaja memperluaskan akses kepada pendidikan STEM, malah membudayakan inovasi dan penyelidikan berimpak tinggi yang menjadi tunjang transformasi digital negara.

Program ini jelas membuktikan UTM sebagai peneraju dalam mendekati komuniti, memperkasa bakat muda dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara berasaskan pengetahuan. Ia juga mencerminkan usaha berterusan universiti ini dalam menyokong agenda nasional ke arah sebuah Malaysia Madani yang progresif dan berdaya tahan.
Dengan kejayaan penganjuran UTM TechnoXplorer 2025 di Manjung ini, UTM mengorak langkah lebih jauh dalam mendepani cabaran masa hadapan, memastikan setiap bakat muda diasah potensi mereka agar mampu menjadi pemimpin inovasi global.