KOTA TINGGI, 20 Apr – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya dalam memperkenalkan teknologi solar fotovolta (PV) kepada komuniti melalui program pemindahan ilmu kepada penduduk Kampung Punggai. Inisiatif ini digerakkan oleh Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Perdana (JKP KP) dengan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN UTM), Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Sustainable & Innovation Engineering Sdn. Bhd., dan Jawatankuasa Masjid Al-Huda, Kampung Punggai.

Program Pemindahan Ilmu: Kursus Asas Sistem Solar Fotovolta (PV) dan Penyelenggaraannya kepada Penduduk Kampung Punggai ini bertujuan memberikan pendedahan mengenai teknologi solar PV serta kaedah penyelenggaraan sistem solar bagi menjamin kecekapan dan ketahanan jangka panjang. Program telah diadakan di Masjid Al-Huda, Kampung Punggai, Pengerang, Johor. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Soufi bin Othman, Penasihat Jawatankuasa Masjid Al-Huda.
Seramai 35 orang peserta daripada Kampung Punggai telah menyertai program ini. Turut membantu menjayakan program adalah 25 sukarelawan yang terdiri daripada warga JKP KP, Majlis Felo Kolej Perdana, kakitangan pejabat Kolej Perdana, dan kakitangan Sustainable & Innovation Engineering Sdn. Bhd.
Pendedahan kepada Teknologi Solar PV
Melalui program ini, komuniti masjid dan penduduk setempat diberi latihan asas mengenai konsep tenaga boleh diperbaharui, khususnya teknologi solar PV. Latihan ini merangkumi teori dan praktikal, termasuk pengenalan sistem solar PV, pendawaian dan pemasangan asas sistem solar, cara penjagaan panel solar, pemeriksaan berkala, dan kaedah mengenal pasti dan panduan menyelesaikan masalah kecil yang mungkin timbul. Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara mendalam tentang operasi sistem solar, kelebihan dan kelemahan sistem solar PV dan kepentingan penyelenggaraan berkala untuk memastikan prestasi optimum.
Kursus ini dikendalikan oleh tenaga pakar dari UTM yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian. Peserta juga didedahkan dengan demontrasi penyelenggaraan sistem solar untuk memberi pemahaman kepada peserta. Modul latihan yang dibangunkan juga akan menjadi rujukan kepada para peserta dan penduduk bagi memastikan kesinambungan pembelajaran teknologi solar di kawasan perumahan.


Peluang Menjana Pendapatan Tambahan
Selain meningkatkan kesedaran tentang tenaga bersih, program ini juga membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat. Dengan kemahiran yang diperoleh dalam penyelenggaraan sistem solar, mereka berpotensi menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan kepada masjid, rumah kediaman, dan premis lain yang menggunakan tenaga solar. Inisiatif ini bukan sahaja membantu dalam menjimatkan kos tenaga, tetapi juga membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam bidang teknologi hijau, seterusnya meningkatkan taraf ekonomi komuniti.

Kerjasama Strategik untuk Pembangunan Mampan
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kolej Kediaman (Kolej Perdana), dan Masjid Al-Huda. Usaha ini bertujuan untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal kepada komuniti, membolehkan masyarakat memahami teknologi solar secara lebih mendalam serta menggalakkan amalan lestari dalam kehidupan seharian. Masjid berperanan sebagai pusat rujukan dalam penggunaan dan penyelenggaraan tenaga bersih, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7, Tenaga Bersih dan Mampan.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif UTM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan komuniti. Para peserta diberi peluang melihat demonstrasi penyelenggaraan solar panel dan pemeriksaan sistem solar yang terdapat di masjid tersebut yang dikendalikan oleh saudara Mohd Hafiz Yahya dari Sustainable & Innovation Engineering Sdn. Bhd.
Dengan pelaksanaan program ini, UTM membuktikan komitmennya dalam memainkan peranan aktif bukan sahaja sebagai institusi pendidikan tinggi, tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan komuniti berteraskan inovasi, teknologi hijau, dan kelestarian alam sekitar.
Program ini diharap menjadi pemangkin kepada usaha memperluas pengetahuan teknologi hijau dalam kalangan masyarakat dan menambah pengetahuan penduduk luar bandar berkaitan teknologi solar PV. Selain itu, pelajar UTM yang terlibat dalam penganjuran program ini turut mendapat manfaat dalam mengasah kemahiran kepimpinan dan meningkatkan kepekaan sosial menerusi khidmat bakti kepada komuniti.
