Mei 22, 2025

Featured Image NewsHub ()

UTM International dorong mobiliti global lahirkan graduan berdaya saing antarabangsa

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengorak langkah sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa menerusi pelaksanaan program mobiliti pelajar bagi kategori inbound dan outbound di bawah kendalian UTM International. Mobiliti inbound merujuk kepada kehadiran pelajar antarabangsa ke UTM, manakala mobiliti outbound melibatkan penghantaran pelajar UTM ke institusi luar negara. Inisiatif ini menjadi antara pemacu utama dalam usaha melahirkan graduan berdaya saing global, sejajar dengan aspirasi enVision UTM 2025 untuk mencapai kedudukan ‘global eminence’.

Dalam konteks ini, UTM International menjadi penggerak (caretaker) utama universiti yang mengurus hal ehwal pengantarabangsaan termasuk hal ehwal pelajar antarabangsa, kolaborasi akademik rentas negara serta mempromosikan UTM di pentas global. Penubuhannya selaras dengan matlamat universiti untuk membentuk ekosistem pengajian tinggi yang terbuka, responsif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurut Dr. Ahmad Fadhil Yusof, Pengurus Mobiliti Inbound UTM International, program pertukaran pelajar ini membuka ruang luas kepada pelajar antarabangsa untuk menimba pengalaman akademik dan budaya di UTM, manakala pelajar tempatan pula berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara bagi tempoh minimum satu semester sehingga maksimum dua semester.

“Kita terima pelajar dari pelbagai negara seperti dari Jepun, China, Indonesia, hinggalah ke benua Eropah. Mereka disediakan kolej kediaman, dibantu oleh penasihat akademik dan turut mendapat sokongan daripada fakulti,” jelas beliau.

Pelajar antarabangsa yang menyertai program ini turut dibekalkan dengan pelbagai bentuk sokongan, termasuk bantuan kebajikan, dana kecemasan (Hardship Fund), serta aktiviti integrasi budaya antara pelajar tempatan dan antarabangsa yang berlangsung menerusi program anjuran bersama International Student Society (ISS) selaras dengan agenda Internalization@Home di UTM.

MGL
Dr. Ahmad Fadhil, Pengurus Mobiliti Inbound, ketika ditemu bual berkenaan peranan strategik mobiliti pelajar antarabangsa dalam memacu agenda pengantarabangsaan universiti

Inisiatif yang telah dilaksanakan sejak tahun 2009 ini telah berkembang pesat bermula hasil kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bersama universiti rakan strategik seluruh dunia. Walaupun pandemik COVID-19 sedikit mengekang pelaksanaannya, namun pasca-2022 menyaksikan kemasukan semula pelajar dari Eropah serta peningkatan ketara pelajar inbound dari Asia, khususnya Indonesia dan Jepun.

Cik Zetty Raihan Haji Mohd Yassin, Pengurus Mobiliti Outbound, menekankan bahawa penglibatan pelajar UTM dalam program antarabangsa tidak hanya terhad kepada pemindahan kredit (credit transfer), malah turut merangkumi penyertaan dalam program latihan penyelidikan (research internship), summer school atau Edutourism dan inisiatif peningkatan kemahiran (upskilling) yang memberikan pendedahan budaya dan akademik secara langsung.

MGL ()
Cik Zetty Raihan, Pengurus Mobiliti Outbound, berkongsi inisiatif memperluas peluang mahasiswa UTM melangkah ke pentas global

Seramai 40 pelajar Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia atau SULUNG, telah terpilih menyertai Program ‘Steps Beyond Home: Nurturing Growth Through Global Exposure’ Bersama Pelajar Sulung 2.0 UTM ke Acheh dan Surabaya dengan sebahagian besar perbelanjaan dibiayai oleh pihak hos iaitu universiti di sana.

Program SULUNG merupakan insiatif yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan untuk memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan keluarga B40 tetapi kurang berkemampuan. Program mobiliti yang disertai oleh pelajar ini sedikit sebanyak dapat memberi mereka pendedahan kepada budaya dan sistem pendidikan yang berbeza, selain pengalaman baharu serta kelebihan kepada mereka dalam pasaran kerja atas pengalaman global yang dimiliki.

DSC scaled
Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim ketika bergambar bersama Rektor Universitas Syiah Kuala dan Universitas Teuku Umar, Pengarah UTM International serta pelajar UTM Sulung 2.0 di USK, Aceh (Sumber: UTM International)
WhatsApp Image at
Pelajar dan delegasi UTM disambut dengan penuh mesra oleh para pelajar serta wakil Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa, Universitas Syiah Kuala, sebaik tiba di Aceh bagi program outbound (Sumber: UTM International)

Program mobiliti ini turut menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sahsiah dan kebolehpasaran pelajar. Melalui penyertaan aktif dalam program seperti ini, pelajar bukan sahaja mempelajari ilmu akademik, malah turut memperkukuh kemahiran insaniah seperti toleransi budaya, kepimpinan rentas sempadan, pemikiran global serta komunikasi antara budaya yang amat diperlukan dalam dunia kerjaya masa kini.

“Maklum balas daripada pelajar antarabangsa amat positif. Mereka selesa dengan kemudahan di UTM dan berasa diterima dalam komuniti yang pelbagai bangsa dan budaya,” tambah Dr. Ahmad Fadhil.

Program mobiliti bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik antarabangsa, malah turut menyumbang kepada penarafan universiti di peringkat serantau dan global. Berdasarkan kepada indikator yang dikongsikan oleh Quacquarelli Symonds (QS), sebanyak  5% daripada penilaian keseluruhan QS Asia University Rankings disumbangkan oleh mobiliti antarabangsa, seterusnya menjadikan usaha ini sebagai satu agenda penting universiti.

hollis
Hollis, salah seorang pelajar outbound, menerima sijil daripada UT Austin bersama Penyelaras Program YSEALI dan kakitangan Texas Global (Sumber: UTM International)

Dengan pelaksanaan yang tersusun dan kolaborasi erat bersama fakulti serta rakan antarabangsa, UTM International komited memastikan program mobiliti bukan sekadar pengalaman akademik, tetapi sebagai jalan membina kepimpinan global masa hadapan. UTM percaya bahawa pelaburan dalam mobiliti antarabangsa ini adalah langkah strategik untuk membentuk graduan masa hadapan yang bukan sahaja celik ilmu pengetahuan, malah juga mempunyai kepekaan antarabangsa dan jati diri global yang mantap.

Explore More