April 11, 2025

MGL

UTM hasrat pacu lonjakan global menerusi Pelan Strategik 2026–2030

JOHOR BAHRU, 10 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan program Town Hall Pelan Strategik UTM 2026–2030 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru hari ini. Program ini menjadi platform penting bagi membentangkan hala tuju baharu universiti dalam tempoh lima tahun akan datang, melibatkan seluruh komuniti UTM dan para pemegang taruh dalam mendapatkan input bagi merealisasikan aspirasi institusi ke arah kecemerlangan global, kelestarian, serta kesejahteraan masyarakat.

Prof. Dr. Shamsul Shahibudin, Menjalankan Fungsi Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur yang juga bertindak sebagai Ketua Task Force Pembangunan Pelan Strategik UTM 2026-2030 menggariskan empat teras utama di bawah kerangka Teras Keunggulan Terbilang (Pillars of Distinctive Eminence), yang disusun bagi memperkukuh kedudukan UTM sebagai universiti berdaya saing dan berimpak tinggi di peringkat global. Keempat-empat teras ini merangkumi Lonjakan Kebitaraan, Bakat Global, Kemampanan dan Kelestarian, serta Kemanusiaan dan Kesejahteraan.

MGL
Prof. Dr. Shamsul menyampaikan pengenalan menyeluruh berkenaan Pelan Strategik UTM 2026–2030 selaku Ketua Task Force

Setiap teras ini diterajui oleh setiap Jabatan Timbalan Naib Canselor yang berkaitan seperti Lonjakan Kebitaraan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Bakat Global oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Kemampanan dan Kelestarian oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), manakala Kemanusiaan dan Kesejahteraan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Menurut beliau, “Lonjakan Kebitaraan bukan hanya mengejar kedudukan dalam penarafan dunia, bahkan ia lebih kepada kesinambungan budaya kesarjanaan yang memberi manfaat kepada manusia dan mensejahterakan kehidupan. Tadbir urus, kesejahteraan warga, dan kemampanan institusi adalah sebahagian daripada ekosistem yang menyokong kebitaraan ini.” Pemerkasaan penerokaan bidang baharu, hubungan antarabangsa dan industri menjadi antara elemen yang perlu terus diperkukuhkan. Antara sasaran yang dinyatakan termasuk penarafan Top 100 QS World University Rankings serta pemerkasaan pusat penyelidikan bertaraf antarabangsa.

Teras Bakat Global pula memberi penekanan terhadap transformasi ekosistem pembelajaran dengan menjenamakan semula pelajar sebagai ‘learners’ bagi mencerminkan pendekatan pembelajaran sepanjang hayat yang merentas negara dipacu oleh kecanggihan teknologi. UTM menyasarkan pencapaian kebolehpasaran graduan Tier-1 dan penghasilan pencipta pekerjaan melalui inisiatif keusahawanan seperti UTM Centre for Student Innovation and Technology Entrepreneurship (UTM XCITE), Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN) dan Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM (ICC).

Dalam aspek Kemampanan dan Kelestarian, pelan ini menetapkan sasaran untuk mencapai RM500 juta hasil kasar tahunan menjelang 2030 melalui pemanfaatan aset strategik sedia ada UTM turut menyasarkan  matlamat pengurangan jejak karbon sebanyak 30% serta pengurangan kos per pelajar sebanyak 20%. Prof. Dr. Shamsul menekankan bahawa kejayaan perancangan ini memerlukan penglibatan aktif pusat kecemerlangan, fakulti dan kumpulan penyelidikan dalam mengenal pasti bidang keutamaan masing-masing.

Sementara itu, Kemanusiaan dan Kesejahteraan menegaskan komitmen universiti terhadap pembangunan sosio-intelektual yang berteraskan nilai dan kesejahteraan bersama. “Kita sedang membina masyarakat berasaskan pengetahuan. Tiada pelajar AI, kejuruteraan dan pengkomputeran tanpa adanya kelompok pelajar STEM yang kukuh. Menerusi penglibatan sekolah terpilih di Kuala Lumpur, UTM menyasarkan peningkatan bagi kemasukan pelajar dalam bidang ini. Bercakap tentang keadaan di Johor juga, UTM bakal menyokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSE-SEZ). UTM berhasrat untuk menjadi penggerak kepada pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknikal agar dapat lebih berdaya saing,” ujar beliau.

Dalam pada itu, satu forum khas ‘Navigating UTM in the Next Five Years’ yang menampilkan tiga Timbalan Naib Canselor, iaitu Prof. Dr. Rosli Md Illias (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, dan Menjalankan Fungsi Akademik dan Antarabangsa), serta Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad (Pembangunan) telah mengupas dengan lebih mendalam tentang pelaksanaan dan hala tuju bagi setiap fokus strategik Pelan UTM 2026–2030.

MGL
Dari kiri: Moderator Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat, Prof. Dr. Rosli Md Illias, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, dan Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad

Sesi Town Hall Pelan Strategik UTM 2026–2030 ini mencerminkan komitmen utuh UTM dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang progresif, mampan dan berpaksikan nilai. Perbincangan yang melibatkan barisan kepimpinan universiti menunjukkan kesepakatan arah dalam mendepani cabaran global, memacu transformasi digital, memperkasa kebitaraan akademik dan penyelidikan, serta memastikan kesejahteraan semua pihak yang terlibat. Penyertaan aktif warga UTM dalam sesi ini juga menzahirkan semangat keterbukaan dan inklusiviti dalam membentuk pelan strategik yang benar-benar mencerminkan aspirasi bersama.

MGL
Warga UTM tidak melepaskan peluang mengunjungi pameran empat teras strategik yang memperlihatkan komitmen pelbagai jabatan dalam merealisasikan aspirasi UTM

Explore More