JOHOR BAHRU, 13 April 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mencatat pencapaian yang membanggakan dalam kebolehpasaran graduan apabila merekodkan 100% bagi Kadar Bekerja Graduan (Graduate Employability – GE).
Lebih mengujakan, UTM turut mencapai 100% bagi Kadar Kebolehpasaran Graduan (Graduate Marketability – GM). Kedua-dua kadar ini adalah berdasarkan graduan UTM bagi tahun 2024, susulan pelaksanaan operasi definisi baharu oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke atas indikator GE dan GM bagi memastikan pengukuran yang lebih tepat dan berfokus terhadap status graduan dalam pasaran buruh.
Pencapaian ini juga mengatasi kadar purata kebangsaan yang dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, iaitu 92.5% untuk GE, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan UTM dalam melahirkan graduan berkualiti dan bersedia menghadapi pasaran kerja.
GE vs GM: Apa Bezanya?
Mulai 2024, Kementerian telah memperkenalkan pengasingan dua indikator utama dengan memperkenalkan operasi definisi baharu iaitu:
● Kadar Bekerja Graduan (Graduate Employability – GE) kini hanya merangkumi graduan yang telah bekerja sahaja.
● Kadar Kebolehpasaran Graduan (Graduate Marketability – GM) pula menggambarkan kadar kebolehpasaran graduan secara lebih meluas, termasuk mereka yang bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran, serta menunggu penempatan pekerjaan.
Pendekatan baharu ini menekankan kejelasan data sebenar tentang keberadaan graduan dalam pasaran buruh, dan memberi gambaran yang lebih holistik mengenai kebolehpasaran mereka.
UTM Kekal Kukuh dalam Pasaran Pekerjaan
Naib Canselor UTM, YBrs, Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, menyatakan bahawa kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan UTM dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi serta memperkukuh jalinan dengan industri.
“Graduan kami bukan sahaja mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan, malah ramai antara mereka menjadi peneraju dalam bidang masing-masing,” ujar beliau.
“Kami sentiasa memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran berimpak tinggi serta jalinan kerjasama industri yang kukuh bagi memastikan graduan UTM bukan sahaja layak mendapat pekerjaan, tetapi juga berdaya saing di pasaran global,” katanya.
UTM terus komited menyediakan peluang pembelajaran berimpak tinggi, latihan industri di syarikat dan institusi di dalam dan luar negara, pembangunan kemahiran insaniah, serta program keusahawanan yang menyeluruh bagi memperkasa kebolehpasaran graduan.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UTM sebagai institusi peneraju dalam menginsankan sains, teknologi dan kejuruteraan demi masa depan yang mampan. Graduan UTM bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran kerja, malah digalakkan menjadi pencipta pekerjaan serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.