JOHOR BAHRU, 30 April – Saudara Teo Kok Wei, pelajar Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Fasiliti dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah dinobatkan sebagai penerima Tempat Pertama dalam kategori Individu, Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek sempena Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024. Majlis berprestij tersebut berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru dan disaksikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.

Penganugerahan ini mengiktiraf sumbangan luar biasa beliau dalam menjayakan program-program berimpak tinggi yang menyumbang secara langsung kepada pengayaan pengalaman pelajar dan peningkatan keterlihatan universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kejayaan ini sekaligus menandakan satu lagi pencapaian cemerlang dalam laluan kepimpinan beliau yang konsisten sejak sesi akademik 2020/2021.
Lebih mengagumkan, Teo turut tersenarai sebagai finalis dalam enam kategori anugerah tambahan GEMA 2024 yang mencerminkan nilai teras UTM, iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian. Antara kategori tersebut termasuk Anugerah Naib Canselor, Anugerah Aktiviti Terbaik, Anugerah Inisiatif Kebolehpasaran Graduan Terbaik, Anugerah Pasukan Sukarelawan Terbaik, Anugerah Kreativiti Program Terbaik, serta Anugerah Penghargaan Khas Pelajar Aktiviti Terbaik.

Keberhasilan beliau yang berterusan juga membuahkan pelbagai pengiktirafan sebelum ini seperti Anugerah Peringkat Kebangsaan Kesukarelawan Kesejahteraan (MAKUMA 2024), Anugerah Pemimpin Fakulti/Persatuan/Kelab (GEMA 2023), dan Tempat Pertama Anugerah Bersama Persatuan Pasca Siswazah (MOHE 2022), menjadikan beliau antara tokoh pelajar paling berwibawa dalam landskap kepimpinan mahasiswa UTM masa kini.
Koleksi kemenangan yang diraih termasuk juga pencapaian terdahulu seperti tempat ketiga dalam kategori sama pada GEMA 2021 serta penerimaan Anugerah Bakti Gemilang, jelas menggambarkan dedikasi dan kesungguhan beliau dalam memperjuangkan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.
Program GEMA yang saban tahun dianjurkan UTM merupakan platform utama dalam mengiktiraf komitmen, pengorbanan dan pencapaian mahasiswa melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang selari dengan aspirasi universiti. Pada edisi 2024, sebanyak 27 anugerah dalam tiga kategori utama telah dipertandingkan. FABU UTM turut mencatatkan pencapaian membanggakan melalui kejayaan pelajar-pelajar lain seperti Aida Julia binti Aminuddin yang memenangi Tempat Pertama, Anugerah Pemimpin Sukarelawan Kesejahteraan Komuniti (Kategori Individu) dan Chua Jeng Yit yang dinobatkan sebagai ‘Best Dressed Male.’

Pengiktirafan yang diterima bukan sahaja menjadi bukti kesungguhan pelajar FABU dalam menjulang nama fakulti dan universiti, malah memperkukuh peranan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited melahirkan graduan berkarakter, berdaya saing dan menyumbang kepada komuniti global. Kejayaan ini juga menyokong pelaksanaan UTM enVision 2025 dan UTM Sustainability Blueprint 2030 yang mendokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selaras dengan misi UTM sebagai Universiti Sanjungan Bangsa.