JOHOR BAHRU, 9 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, selaku Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Pelajar Antarabangsa UTM yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda bersama Pro-Canselor UTM, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor serta Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim menyerikan majlis yang diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pelajar antarabangsa yang menimba ilmu jauh dari tanah air. Majlis ini mencerminkan komitmen UTM dan Seri Paduka Baginda terhadap semangat solidariti sejagat dan empati.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat dalam sembah ucapannya menyatakan, “Kepada pelajar antarabangsa kami yang berjauhan dari kampung halaman, kami ingin anda merasakan bahawa UTM adalah keluarga anda. Kehadiran anda menyerikan lagi suasana kampus, dan kami amat berbesar hati dapat meraikan detik yang penuh kegembiraan ini bersama-sama.”
Beliau turut menambah bahawa UTM kini mempunyai lebih 5,000 pelajar antarabangsa dari lebih 83 buah negara. Kepelbagaian ini mencerminkan komitmen universiti dalam membentuk persekitaran kampus yang inklusif, dinamik dan bersifat global. Dalam semangat Aidilfitri, beliau berharap majlis ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pelajar, malah menyemai semangat saling memahami dan menyokong antara satu sama lain dalam komuniti UTM.

Wakil pelajar antarabangsa, Mustafa Mahmood dari Sudan pula menyampaikan rasa terima kasih atas penganjuran majlis yang dianggap membawa ketenangan dan kehangatan ibarat berada di rumah sendiri. Beliau menekankan bahawa para pelajar bukan sekadar mewakili pelbagai negara, tetapi bersatu sebagai satu komuniti.
Tambahnya lagi, “Di UTM, para pelajar antarabangsa bukan sekadar menerima pendidikan bertaraf dunia, malah menjadi sebahagian daripada komuniti yang inklusif dan mesra. Dalam setiap detik tersebut, jelas tergambar bahawa kami bukan hanya menimba ilmu di Malaysia, tetapi turut belajar bersama Malaysia.”

Dalam titah Seri Paduka Baginda, Baginda menzahirkan harapan agar para pelajar antarabangsa dapat merasai kehangatan sambutan Aidilfitri meskipun berjauhan dari keluarga. Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa sebahagian pelajar mungkin tidak dapat pulang ke tanah air, justeru majlis seperti ini sangat bermakna bagi mereka.
Seri Paduka Baginda turut menyentuh pentingnya kita semua untuk sentiasa berbuat baik, bersimpati dan menunjukkan empati terhadap penderitaan yang dialami oleh sesama manusia, tidak kira dalam atau luar negara, lebih-lebih lagi mereka yang terjejas akibat peperangan, bencana alam, kelaparan mahupun kekurangan rawatan perubatan.

UTM terus menjulang nilai-nilai ini menerusi pelbagai inisiatif. Antaranya ialah Program UTM Serambi Al-Quds yang menawarkan biasiswa penuh kepada 10 orang pelajar Palestin bagi pengajian peringkat PhD, hasil kerjasama bersama Yayasan Hasanah dan Kedutaan Palestin. Setakat ini, tujuh pelajar telah menerima pembiayaan penuh di bawah program ini, manakala tiga lagi tempat sedang dalam proses pemilihan.
Di samping itu, UTM Hardship Fund turut diwujudkan bagi membantu pelajar antarabangsa yang menghadapi masalah kewangan akibat insiden/kesihatan tanpa perlindungan insurans mencukupi.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda bukan sekadar menyerikan majlis, tetapi melihatkan iltizam dan kasih Baginda terhadap nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Keprihatinan tersebut menjadi inspirasi bukan sahaja kepada warga kampus, malah seluruh komuniti pendidikan tinggi dalam meneruskan agenda pemerkasaan ilmu, solidariti global dan nilai-nilai murni yang baik.
